Cabaran terbesar pasca Covid-19

A
A
A

MEMASUKI fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya mencabar.

Seperti yang dijangkakan, PKP terpaksa diteruskan kerana hanya langkah ini sahajalah yang mampu mencegah wabak Covid-19 daripada terus menular dan membahayakan bukan sahaja nyawa manusia, malah sosio-ekonomi negara.

Covid-19 yang membuat kita semua terkekang di rumah – mungkin barangkali selama berbulan-bulan – telah mengubah hubungan kita dengan pemerintah, dengan dunia luar bahkan antara satu sama lain.

Dijangkakan ada beberapa perubahan bakal berlaku pada bulan-bulan dan mungkin tahun-tahun mendatang yang tidak normal atau biasa buat kita semua; adakah negara akan berterusan ditutup?

Adakah bersalaman menjadi larangan berkekalan? Adakah lagi bazar Ramadan? Masih meriahkah lagi perayaan Syawal tahun ini?

Sebab itu pasca Covid-19 banyak memperkatakan tentang sesuatu perubahan keadaan yang baharu. Hal ini diistilahkan sebagai ‘normal baharu’.

Ini kerana kedatangan wabak ini telah merubah kehidupan ‘normal’ kita sebelumnya kepada kehidupan yang ‘tidak normal’.

Kalau dahulu bersarapan pagi di warung dan kedai mamak adalah sesuatu yang normal, sekarang ia cuba dihindari.

Artikel Berkaitan:

Dahulu bersalaman adalah normal persahabatan, sekarang bersentuhan dianggap ‘dosa’ besar.

Suatu ketika keramaian membawa ceria dan kemeriahan, tapi kini pengasingan dan penjarakan sosial menjadi anutan.

Negara juga tidak terlepas daripada menerima tempiasnya.

Covid-19 memperlihatkan bagaimana pergantungan kepada negara lain dalam konteks sumber dan perekonomian selama ini ternyata rapuh dan berbahaya.

Dahulu ramai yang memperlekehkan keperluan untuk mewujudkan suatu dasar berkenaan keselamatan makanan dan tenaga.

Mereka berpendapat, dalam dunia global tanpa sempadan, kita boleh bergantung kepada negara lain sekiranya sesuatu berlaku dalam negara kita.

Sekarang, perbatasan tiba-tiba menjadi masalah, bekalan dan keperluan perubatan menjadi komoditi terhad dan terpaksa berebut-rebut untuk mendapatkannya.

Sudahnya, Covid-19 menjadi pengajaran buat semua bahawa pergantungan global politik dan ekonomi yang ada ketika ini tidak banyak membantu.

Kerana akhirnya kita terpaksa bersendirian mengurus dan menentukan nasib ketika negara lain juga bertindak mementingkan diri disebabkan wabak pandemik ini.

Secara ringkasnya, krisis Covid-19 telah menjadi peringatan keras kepada semua bahawa negara masih lagi menjadi unit politik dan ekonomi yang paling penting dalam apa juga keadaan sekalipun.

Sebab itu, ‘normal baharu’ dalam konteks negara dan globalisasi akan turut berlaku.

Dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan kesuraman di pentas ekonomi global pasca Covid-19, negara harus segera bersedia dengan respons yang pantas menerusi dasar domestik dan antarabangsa bersandarkan kepada data yang lebih besar dan kontemporari.

IMF menjangkakan penguncupan 3 peratus ekonomi dunia pada tahun ini, lebih teruk berbanding rekod sedia ada iaitu 1 peratus ketika krisis kewangan dunia pada 2009.

Begitulah seriusnya cabaran ‘normal baharu’ ekonomi global yang bakal kita tempuhi.

Ketika ini, langkah efektif bagi mencegah inflasi, peningkatan kadar pengangguran dan tekanan sistem kewangan kepada perusahan, sama ada besar, sederhana atau kecil perlu dijana segera.

Pakej rangsangan ekonomi sedia ada jaga perlu ditambah baik dan dipertingkatkan, terutamanya untuk memanjangkan jaringan keselamatan sosial rakyat untuk jangka panjang.

Justeru itu sistem ekonomi yang perlu kita persiapkan selepas wabak ini tidaklah perlu berpandangan jauh, tetapi mesti lebih lasak dan berdaya saing, mandiri serta peka terhadap kenyataan bahawa globalisasi ekonomi jauh melebihi globalisasi politik.

Selagi ini berlaku, kita harus berusaha untuk mencari keseimbangan yang lebih baik antara memanfaatkan globalisasi dan tahap kemandirian yang diperlukan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!