Semakin banyak soalan bodoh

A
A
A

SEORANG doktor dari India dalam sebuah artikel menyatakan, "Bertambahnya kes Covid-19 ini maka, bertambahlah juga kebodohan manusia.”

Seorang wartawan bertanya, “ kenapa doktor berkata begitu?”

“Oh kamu tahu. Kami menerima banyak panggilan ke talian bantuan. Dan banyak soalan yang kami terima, menyebabkan kami sakit kepala hendak menjawabnya. Soalan yang agak pelik, bodoh dan kadang-kadang tidak masuk akal pula,” kata doktor tersebut.

Kemudian doktor itu menyambung lagi, "kami terpaksa menjawab soalan mengarut ini menyebabkan banyak masa kami terbuang berbanding daripada merawat masalah pandemik ini.”

“Oh apakah soalan yang ditanya?” tanya wartawan tersebut sambil bersiap-sedia untuk mencatat di sebuah buku nota kecilnya. Doktor tersebut menghembus nafasnya perlahan-lahan. Mimik mukanya kelihatan agak tegang.

Perlahan-lahan juga beliau memandang wajah wartawan tersebut yang menunggu dengan penuh minat.

Kemudian senyuman terukir di wajahnya. Kelihatan mimik keletihan terpampang juga di wajahnya.

“Apakah soalan-soalan yang dikatakan bodoh itu?” tanya wartawan itu mula tidak sabar. Mungkin dia mengejar masa untuk sesi temu ramah lain. Ataupun mungkin dengan waktu yang terhad ini dia perlu pulang segera.

Artikel Berkaitan:

“Ah, tidak tergamak pula saya hendak menyebutnya,” kata doktor tersebut.

Wartawan itu masih menunggu dengan penuh sabar. Doktor tersebut masih belum membuka mulut. Memang sejak peningkatan kes, banyak soalan-soalan yang ditanya oleh rakyat jelata.

Panik

Semakin meningkat merebaknya penyakit ni, ketakutan manusia juga semakin tinggi. Apatah lagi dengan meningkatnya kematian di seluruh dunia. Dunia mungkin panik.

Ketakutan menerjah diri menyebabkan manusia tidak dapat berfikir dengan lebih rasional. Maka keluarlah soalan yang pelik-pelik.

Informasi atau maklumat sama ada berbentuk akademik ataupun komersial banyak dibaca.

Tidak termasuk lagi banyak maklumat yang mungkin tidak benar. Maklumat yang benar kebanyakan dari jurnal akademik juga berlambak untuk dibaca.

Apatah lagi maklumat yang tidak rasmi. Seperti juga pendapat di media sosial atau laman sesawang. Belum lagi yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp, Instagram, Twitter dan lain lain lagi.

Saya ada juga menerima mesej dari seorang jurujual untuk memasang terowong nyah kuman secara percuma tetapi bersyarat.

Kemudian saya ada terbaca pula di dalam surat khabar yang menyatakan tiada bukti terowong nyah kuman berkesan mencegah kuman dari merebak.

Soalan

Dan dalam surat khabar itu lagi, memberitahu, bahan kimia yang disembur juga boleh memudaratkan selaput badan iaitu ‘membrane mucosa’. Maklumat begini sahaja boleh mengelirukan rakyat jelata juga.

Dan sekali gus menambahkan ketakutan yang menyebabkan mereka tidak dapat berfikir dengan sempurna, maka lahirlah soalan-soalan yang pelik-pelik dan tidak masuk akal pula.

Wartawan tersebut sekali lagi bertanya sambil menekan-nekan suaranya, “banyak ke soalan yang pelik-pelik doktor terima?”

Doktor yang dikenali dengan nama Bahubali tersenyum lagi. Kemudian menjawab dengan penuh teliti, “banyaklah soalannya. Tak larat dah nak jawab. Antaranya ada yang bertanya, kalau berjemur tengah panas, virus tu mati tak? Covid boleh berjangkit tak melalui kentut? Melalui seks?

"Kalau musim PKP ini saya nak panggil orang makan-makan bawah sepuluh orang boleh tak? Kalau saya makan masakan China boleh berjangit tak? Begitulah antara soalan-soalannya. Ada lagi tapi tak tergamak pula saya hendak menyebutnya.”

Wartawan tersebut mengangguk dan tersenyum sambil menulis buku nota kecilnya yang kelihatan lusuh dan sudah tidak berkulit itu. Kemudian wartawan itu bertanya lagi, “ada lagi peristiwa pelik yang doktor alami sejak pandemik ini?”

Doktor Bahubali hanya menggelengkan kepala kemudian berkata, “soalan-soalan ini pun sudah cukup pelik. Mungkin mereka panik. Tetapi kami barisan hadapan ini perlulah menjawabnya dengan penuh bersopan santun pula. Walaupun kadang-kadang geram juga.”

Wartawan itu mengangguk-angguk lagi. Begitulah mungkin yang terjadi sekarang.

Saya pun berfikir juga, dengan adanya banyak informasi, maklumat, jurnal akademik dan juga maklumat terkini yang semuanya di hujung jari, sebenarnya menjadikan kita ini semakin cerdik atau bodoh?

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!