Jangan mengalah, terus berjuang!

Proses sanitasi dilakukan JBPM di kawasan zon yang ditetapkan bagi memastikan kawasan terbabit bersih dan dapat memutuskan rantaian Covid-19.
Proses sanitasi dilakukan JBPM di kawasan zon yang ditetapkan bagi memastikan kawasan terbabit bersih dan dapat memutuskan rantaian Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jangan mudah mengalah, kita mesti terus berjuang. Walaupun kita masih belum menang dalam peperangan ini tapi kita belum gagal menghadapinya!

Itulah kata-kata semangat diucapkan teraju utama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Pada usia 57 tahun, beliau yang mempunyai pengalaman lebih 33 tahun berkhidmat dalam pasukan dilihat masih bersemangat menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pengarah JBPM Malaysia.

Mohammad Hamdan
Mohammad Hamdan

Apa yang pasti menurutnya, semangat juang sentiasa diterapkan sejak awal pembabitan seseorang individu dalam jabatan itu bagi memastikan mereka memberi perkhidmatan sebaik mungkin.

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya sudah memulakan tugas dalam Ops Covid-19 sejak 2 Februari lalu sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, tugasan JBPM bermula ketika warga Malaysia dibawa pulang dari Wuhan di China iaitu semasa wabak berkenaan menular di negara itu pada Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Pasukan bomba sedang menjalankan sanitasi awam.
Pasukan bomba sedang menjalankan sanitasi awam.

“JBPM bertanggungjawab membawa pihak terlibat yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Wuhan untuk melakukan proses nyah cemar. Kita lakukan proses nyah cemar iaitu desinfeksi kepada penumpang dan teknik decon juga kepada kapal terbang yang membawa penumpang dan pesawat kargo yang membawa barangan.

“Selepas itu, apabila tempoh PKP pertama diwartakan bermula 18 Mac lalu, maka kita meneruskan tugas dengan misi menyelamat merangkumi Humanitarian Disaster Relief (HDR). Melalui tugas ini, kita terus menerima warga Malaysia dari luar negara melibatkan empat negara yang terlibat dalam wabak pandemik itu iaitu China, Korea Selatan, Itali dan Iran.

“Untuk tugas-tugas penyelamatan ini, pada mulanya ia melibatkan 60 anggota dari Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), namun selepas melihat penugasan ini berisiko dan perlu ditambah anggota, maka kita tambah 100 hingga 120 anggota bagi melancarkan tugas,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, dalam misi menyelamat itu, kebanyakan mereka merupakan golongan diplomat, keluar negara untuk bercuti dan pelajar.

“Kita mahu bahagikan mereka dalam kumpulan dan pisahkan mereka supaya rantaian Covid-19 dapat diputuskan. Usaha ini bukanlah mudah namun kita perlu terus berjuang dan meletakkan pihak yang perlu diselamatkan sebagai perkara utama bagi memastikan usaha ini berjaya.

“Pemindahan mereka yang merupakan individu dari kategori pelajar, diplomat dan pelancong itu kemudian akan dipindahkan melalui bantuan JBPM sama ada ke hospital atau di pusat kuarantin dan melibatkan pihak logistik. Aset jabatan merangkumi ambulans melalui Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), bas untuk pengangkutan memindahkan mangsa dan juga lori digunakan bagi ops ini,” kata beliau.

Nyah cemar

Di samping itu menurut Mohammad Hamdan, tugas nyah cemar di kawasan wabak (EPI-Centre) termasuk di Masjid Sri Petaling, Sungai Lui dan Simpang Renggam dijalankan dengan penuh teliti dalam usaha memastikan ia benar-benar bersih dan tidak lagi menjadi kawasan wabak.

Proses sanitasi di tempat awam juga dilakukan pihak JBPM bersama pihak berkuasa tempatan.
Proses sanitasi di tempat awam juga dilakukan pihak JBPM bersama pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, proses sanitasi itu dijalankan melalui arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diselaraskan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Ia juga dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan syarikat konsensinya.

“Segala pelaksanaan tugas dilakukan dengan perbincangan termasuk Jabatan Kimia dan kami terima rujukan dari pihak berkenaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dalam pelaksanaan sanitasi awam ini,” kata beliau.

Mohammad Hamdan berkata, mulai 27 Mac lalu sehingga 8 April, sebanyak 954 operasi sanitasi awam telah dilaksanakan di seluruh negara.

“Sehingga 8 April lalu, sebanyak 159 ops sanitasi awam dijalankan iaitu lapan di Selangor, 39 di Kuala Lumpur, 10 di Negeri Sembilan, dua di Pulau Pinang, enam di Perak, 17 di Melaka, 29 di Johor, lima di Terengganu, lapan di Kelantan, lima di Sabah, lapan di Sarawak, 20 di Pahang dan masing-masing satu di Putrajaya dan Labuan.

“Berdasarkan perancangan kami iaitu 9 April lalu, 14 negeri akan meneruskan operasi ini merangkumi 99 kawasan lagi,” katanya.

Urus jenazah

Mohammad Hamdan juga menambah, di samping tugasan sanitasi awam, antara tugasan yang paling mencabar ialah pengurusan jenazah mangsa Covid-19.

“Ia perlu diuruskan dengan prosedur betul dan teliti mengikut peraturan ditetapkan dan prosedur operasi standard (SOP) dengan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap dan alatan dikhaskan sehinggalah selesai menguruskan jenazah atau mayat.

“Perkara itu perlu diuruskan dengan teliti bagi memastikan anggota tidak dijangkiti ketika mengendalikan pengurusan jenazah itu,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata, sebanyak 1,095 operasi dijalankan pihaknya setakat ini termasuk pemindahan mangsa nyah cemar (HADR) melibatkan 17 operasi dan pemindahan mangsa dari hospital dijalankan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta KKM melibatkan 37 operasi.

Bagi ops nyah cemar pula melibatkan 46 operasi, sanitasi awam (954 operasi), membantu pengurusan jenazah (tiga kes), membantu mengawal pusat kuarantin yang menggunakan Akademi Bomba dan Penyelamat dengan dua pusat tugasan dan lain-lain termasuk tugasan decon bagasi serta penghantaran makanan dengan jumlah 37 operasi.

Sebahagian anggota JBPM siap sedia dalam tugasan Ops Covid-19.
Sebahagian anggota JBPM siap sedia dalam tugasan Ops Covid-19.

Menurutnya lagi, jumlah pegawai yang terlibat sepanjang operasi Covid-19 seramai 2,003 orang melibatkan pegawai dan anggota di seluruh Malaysia.

Beliau juga menambah, setakat ini, jumlah yang diletakkan di bawah pengawasan (PUS) akibat penularan Covid-19 dan pengawasan (PUI) dan orang awam yang terlibat dalam operasi Covid-19 adalah seramai 4,729 orang.

Di samping itu, pihaknya juga turut siap siaga dengan kelengkapan melibatkan logistik melibatkan pasukan udara.

“Kita ada tiga pangkalan udara utama termasuk di Bertam di Pulau Pinang, Subang dan Sarawak dengan lima aset penerbangan.

“Bantuan udara dilakukan dalam usaha membantu pesakit di kawasan pedalaman bagi menghantar barang keperluan dan bantuan itu tidak dapat disampaikan melalui jalan darat,” katanya.

Katanya, pihaknya juga turut mendapat bantuan agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menyediakan bantuan helikopter untuk operasi kali ini.

Dua pegawai positif Covid-19

Mohammad Hamdan berkata, dalam membantu kerajaan membanteras penularan wabak tersebut, pihaknya tidak terlepas dengan risiko jangkitan virus apabila dua pegawainya disahkan positif Covid-19.

Sepanjang tempoh PKP sehingga 8 April lalu, seramai 165 pegawai dan anggota bomba menjalani saringan Covid-19.

Daripada jumlah itu, seramai 79 disahkan negatif dan baki seramai 84 telah diarahkan kuarantin di rumah dan dikategorikan sebagai anggota diletakkan di bawah pengawasan.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan turut menasihati rakyat supaya terus berumuhasabah diri dan tidak hanya memandang perintah PKP ini sebagai satu situasi panik dan menimbulkan kerisauan.

“Mungkin kita perlu pandang ia sebagai satu hikmah dan di sebalik PKP ini, ramai yang telah kembali duduk di rumah dan menikmati suasana bersama keluarga.

“Sesetengah daripada kita sebelum ini begitu sibuk dengan urusan luar, tidak kiralah apa agama yang kita anuti namun PKP sebenarnya ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, semasa PKP ini juga, kes-kes melibatkan kebakaran dan bencana juga menurun hampir 40 hingga 60 peratus.

“Maka kita lihat ada pengurangan dan ini memberi kesan baik dan pihak kita juga kini banyak tertumpu pada tugasan Ops Covid-19,” katanya.

Anggap ibadah

Antara cabaran yang dihadapi JBPM selain menyertai Ops Covid-19 adalah tiga tugasan hakiki iaitu tugas penyelamatan dan pemadaman ketika negara menghadapi keamanan, krisis atau dalam peperangan.

“Kita harus menyelamatkan orang yang tidak dikenali. Itulah amalan dan etika kita untuk selamatkan nyawa dan letakkan kepentingan diri di belakang.

“Letakkanlah amalan menyelamatkan individu itu sebagai perkara utama lagi pun tugasan kita ini sebagai ibadah.

“Ingatlah apabila kita berkhidmat dalam pasukan ini, maka tugas menyelamat mereka yang memerlukan akan dinilai di akhirat kelak dan satu amalan kita itu mungkin dapat membantu kita di sana nanti,” katanya.

Proses sanitasi dilakukan JBPM di kawasan zon ditetapkan bagi memastikan kawasan tersebut bersih dan dapat memutuskan rantaian Covid-19.
Proses sanitasi dilakukan JBPM di kawasan zon ditetapkan bagi memastikan kawasan tersebut bersih dan dapat memutuskan rantaian Covid-19.

Mohammad Hamdan turut menambah, etika jabatan yang tersemat sebagai amalan beliau sehingga kini sememangnya menjadi teras kepada beliau dan pasukan dalam meneruskan perkhidmatannya.

“Kita berpaksikan etika pasukan iaitu berkhidmat kepada negara kerana ALLAH, sentiasa berkhidmat untuk faedah masyarakat, cekap dan disiplin, siap sedia setiap masa dan erat, serasa dan sehati sejiwa.

“Maka nilai teras bomba yang berani, suka menolong, tidak penting diri, sabar dan tidak pernah putus asa terus diutamakan,” katanya lagi.

Menceritakan mengenai tahap kesihatannya sebagai peneraju JBPM, beliau berkata, waktu tidur mencukupi yang diamalkan mampu menjadikan antibodi individu itu lebih baik.

“Pastikan juga kita amalkan aspek pemakanan yang baik dan kawal tekanan kerja dengan baik.

“Memang dalam JBPM ini, kita perlu menghadapi pelbagai hal yang mendorong kepada tekanan maka pengurusan tekanan ketika bekerja perlu diutamakan.

“Dari segi pasukan, kita juga mementingkan kesihatan anggota dan pegawai dan pantau keadaan mereka dari segi fizikal dan kardio melalui latihan serta ujian yang sentiasa kita jalankan dalam pasukan.

“Apa pun usaha semua pihak amat perlu bagi membantu JBPM dan pelbagai pihak lagi sebagai antara pasukan hadapan dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini.

“Semoga dengan usaha ini juga kita dapat menjalani kehidupan yang pernah kita kecapi sebelum ini dan berdoa agar anggota kita yang positif Covid-19 sembuh bagi terus berkhidmat untuk negara mengekang wabak pandemik ini,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!