ADUN redah sungai hantar makanan!
TUMPAT - Tidak mahu seorang pun penduduk di sembilan pulau di sekitar Tumpat di sini terputus bekalan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan turun padang meredah sungai untuk menghantar makanan.
Beliau yang menyusuri sungai dalam cuaca panas menggunakan bot dari Pengkalan Kok Majid di sini singgah di Pulau 100 yang mempunyai 30 buah rumah sebagai lokasi pertama untuk mengagihkan barangan dapur termasuk ayam dan sayur-sayuran sebelum ke tempat seterusnya.
Mohd Adanan berkata, selain beliau sendiri bertanggungjawab, penghulu juga sentiasa diarahkan untuk memastikan dari masa ke masa makanan penduduk di pulau-pulau tidak menghadapi gangguan bekalan.
“Kita tidak pinggirkan penghuni di sini (pulau), malah kami memberikan keutamaan kerana menyedari secara majoritinya penduduk pulau ini berpendapatan rendah dan ramai bekerja sendiri.
“Sebelum ini di awal PKP kita sudah menghantar bekalan kepada 2,400 penerima. Hari ini, kita seberang sungai lagi dan mudah-mudahan mereka dapat merasakan keprihatinan kerajaan dengan mengambil berat tentang keadaan mereka di pulau-pulau. Selepas ini tumpuan untuk keperluan sepanjang Ramadan pula,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan dari Pulau 100, Wan Munah Wan Abdullah,67, berkata, sebelum ini dia mengharapkan keuntungan sekitar RM52 seminggu dengan menjual daun pisang di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu selain bantuan anak-anak.
“Terima kasih kerana kebajikan penduduk di sini dijaga. Mereka sedar batasan kami penduduk di sini yang tidak boleh seberang sungai dengan bebas untuk mencari bekalan sepanjang PKP ini. Sekurang-kurangnya sumbangan makanan yang diberikan ini sangat membantu kami,” katanya.
Sementara itu seorang wakil penduduk, Roslan Ismail berkata, selain imam, penghulu dan pemimpin penduduk di sini juga turut mendapat perhatian daripada beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan dengan menghantar sumbangan makanan.
“Insya-ALLAH kita mengharapkan sekiranya PKP ini dilanjutkan penduduk tidak akan berdepan dengan masalah. Penduduk di sini juga Alhamdulillah cekal mengharungi ujian sepanjang PKP ini meskipun terkesan dengan keadaan semasa ini.
“Bagi keperluan bulan Ramadan ini juga, kita juga merancang untuk mengagihkan juadah berbuka ataupun keperluan bersesuaian secara berperingkat dengan mematuhi peraturan PKP,” katanya.
Katanya, bagi mengelakkan berlaku pertindihan penerimaan bantuan untuk penduduk sekitar pulau, penghulu dan imam juga turut membantu membuat penyelarasan.
Seorang penduduk di Pulau Teluk Renjuna, Mahmud Saamah,78, terharu dengan sumbangan yang disampaikan dan wakil rakyat sendiri turun bertanya khabar keadaan semasa penghuni pulau-pulau di sini.
“Kami lega bila wakil rakyat sendiri datang bertanya secara berdepan apa yang kami perlukan mahupun jika ada kesusahan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!