Tujuh keluarga terpaksa tinggal dalam khemah

Keadaan mangsa-mangsa kebakaran ketika menerima kehadiran daripada Briged Negaraku Cawangan Kelantan.
Keadaan mangsa-mangsa kebakaran ketika menerima kehadiran daripada Briged Negaraku Cawangan Kelantan.
A
A
A

KUALA KRAI - Seramai 27 orang dari tujuh keluarga terpaksa berteduh di bawah khemah selepas rumah yang didiami mereka di Kampung Hamzah di sini terbakar kelmarin.

Kejadian jam 10 pagi itu menyebabkan tujuh keluarga tersebut tinggal sehelai sepinggang apabila tidak dapat menyelamatkan harta benda akibat api marak dengan begitu cepat memusnahkan rumah mereka.

Kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada litar pintas akibat pendawaian lama.

Salah seorang mangsa, Mohamad Azimi Narudin, 38, berkata, buat masa ini khemah hasil sumbangan orang ramai merupakan 'rumah' paling selesa untuk mereka berlindung dari bahang cuaca panas dan hujan.

"Kami tidak mempunyai pilihan kecuali berteduh di bawah khemah. Tambahan pula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 April lalu membatas pergerakan kami semua.

"Sungguhpun begitu, kami reda dengan apa yang berlaku dan menerimanya dengan hati terbuka," katanya kepada Sinar Harian.

Keadaan rumah kepada tujuh buah keluarga rentung dipercayai berpunca daripada litar pintas akibat pendawaian lama
Keadaan rumah kepada tujuh buah keluarga rentung dipercayai berpunca daripada litar pintas akibat pendawaian lama

Katanya, walaupun terpaksa tinggal di khemah dalam tempoh PKP, mereka tetap mengutamakan aspek keselamatan dan penjarakan sosial serta kebersihan dalam usaha memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Zaidi Othman, 41, berkata, kebakaran berlaku dengan cukup pantas menyebabkan mereka tidak sempat menyelamat harta benda kecuali dokumen penting sahaja.

Katanya, ketika kejadian semua penghuni berada di rumah masing-masing sejak kerajaan melaksanakan PKP.

"Walaupun semua barangan gagal diselamatkan, namun kami lega apabila tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya.

Mohd Zaidi berkata, kebanyakan penghuni rumah berkenaan bekerja sendiri dan sudah lama tidak keluar bekerja semenjak PKP dilaksanakan.

Difahamkan, mangsa kebakaran pasangan warga emas menumpang sementara waktu di sebuah surau yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

Terdahulu kesemua mangsa menerima kunjungan dari Briged Negaraku Cawangan Kelantan yang diketuai oleh Pengerusinya, Muhammad Arief Mohd Zain.

Dalam kunjungan tersebut mereka menerima sumbangan wang tunai, pakaian dan peralatan dapur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!