Peniaga kuih diuji, dua anak OKU terlantar derita saraf
PASIR MAS - Sudah 31 hari peniaga kuih manja, Mazlan Ibrahim, 49, dari Kampung Dangar di sini tidak dapat meneruskan perniagaannya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Masa yang ada di rumah digunakan untuk bersama dua anak istimewanya, Muhammad Firash Mazlan, 6 dan Nurul Raesya, 3, yang menghidap penyakit saraf sejak lahir.
Kedua-dua anak kurang upaya itu hanya mampu terlantar dan menggerakkan tangan bagi meluahkan rasa tidak selesa kerana cuaca panas atau lapar.
Bapa kepada lima anak berusia antara 3 hingga 20 tahun itu berkata, setiap kali keluar mencari rezeki dengan menjual kuih manja di sekitar Pasir Mas dua permata hatinya itu akan diuruskan oleh isteri, Norizan Zakaria, 42.
"Dua beradik ini bukan sahaja tidak dapat mendengar, mereka juga tidak dapat bercakap dan menangis seperti kanak-kanak normal yang lain.
"Mereka akan gerakkan tangan apabila lapar dan tidak selesa," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Mazlan berkata, Muhammad Firash dan Nurul Raesya, bergantung sepenuhnya kepada susu untuk meneruskan hidup dan harga susu dua beradik itu mencecah puluhan ringgit satu tin.
Bagaimanapun, dia bersyukur dan lega masih mempunyai bekalan susu untuk diberikan kepada dua anak kesayangannya itu walaupun sudah lama tidak dapat keluar bekerja dan kantung kewangan makin menyusut.
"Alhamdulillah, bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 untuk setiap anak digunakan sepenuhnya untuk beli susu dan lampin pakai buang.
"Klinik Kesihatan Bandar Pasir Mas juga bgai bantuan susu bulanan sebanyak dua tin seorang. Yang selebihnya saya akan cuba usahakan walaupun kami sekeluarga terpaksa mengikat perut sepanjang PKP ini," katanya.
Menurutnya, bukan mudah untuk dia sebagai ketua keluarga untuk melalui PKP ini dengan kesukaran untuk keluar berniaga.
"Saya selalu berdoa supaya semua ini cepat berakhir demi memastikan dapur berasap," katanya
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan wang ke akaun Bank Islam milik Mazlan (03-027-02-056-4435).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!