Urusan akad nikah ditangguhkan sehingga selesai PKP
KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) meneruskan penangguhan urusan akad nikah di negeri ini selaras lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini.
Pengarahnya, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha berkata, usaha itu juga sebagai menjaga kemaslahatan semua pihak yang terbabit dalam urusan majlis akad nikah.
“JAIP juga sedang meneliti perkara ini termasuk mendapatkan pandangan jabatan lain yang berkaitan.
"Ia bagi memastikan langkah itu dapat dilaksanakan sehingga ke satu tempoh yang akan ditentukan kerajaan selaras dengan pelaksanaan PKP di bawah Akta Pencegahan dan pengawalan Penyakit Berjangkit dan Akta Polis 1988,” katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada 18 Mac lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mengumumkan semua urusan perkahwinan, cerai dan rujuk di negeri ini ditangguhkan susulan PKP.
Penangguhan turut melibatkan penganjuran Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam Negeri Pahang.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta pihak pengantin menangguhkan dahulu segala majlis akad sehingga keadaan kembali pulih seperti biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!