MPK sita lapan permit penghantaran atas pelbagai kesalahan
KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menyita lapan permit penghantaran selepas pemegangnya dikesan melakukan pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan di beberapa sekatan jalan sekitar daerah ini semalam.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, antara kesalahan dilakukan termasuk mempamerkan permit tidak sah dan membawa kenderaan selain yang didaftarkan.
Menurutnya, ada juga pemegang permit didapati menyalahgunakan dokumen itu.
"Kita dapati mereka gagal membuktikan perjalanan untuk tujuan penghantaran kerana tiada bukti barang yang dihantar dan ada yang dikesan menukar maklumat di atas permit.
"Berikutan itu, pihak MPK menyita permit penghantaran yang dikeluarkan kepada individu terlibat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Norkamawati berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan, seramai 17 individu yang menjalankan khidmat penghantaran gagal melepasi sekatan jalan raya kerana tidak memiliki permit penghantaran dikeluarkan MPK.
Beliau berkata, pemeriksaan itu akan terus dilakukan bagi memastikan 1,000 pemegang pas permit penghantaran yang dikeluarkan MPK ini sentiasa mematuhi arahan dan peraturan ditetapkan.
Sebelum ini, MPK mengesan 53 kesalahan hasil pemeriksaan pertama ke atas 185 pemegang permit penghantaran bagi memastikan mereka mematuhi syarat pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.
Antara ketidakpatuhan yang ditemui termasuk tidak memakai sarung tangan, berkuku panjang, tidak membawa pensanitasi tangan dan tidak memiliki permit penghantaran yang dikeluarkan MPK.
Sebelum ini, MPK mewajibkan individu yang menjalankan perniagaan penghantaran sepanjang tempoh PKP perlu mendapatkan permit tersebut dan hanya mereka yang ada permit khas ini sahaja dibenarkan beroperasi.
Pengeluaran permit itu bertujuan untuk mengumpul data dan rekod kontak pekerja penghantaran, membantu memudahkan tugas petugas keselamatan dan mendidik mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika membuat penghantaran bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Pada 9 April lalu, MPK menangguhkan serta merta pengeluaran permit penghantaran baharu yang dikeluarkan kepada mereka yang menjalankan khidmat penghantaran ini.
Ia berikutan permohonan yang diterima begitu tinggi di mana 1,000 permit penghantaran telah dikeluarkan sejak tawaran dibuka mulai 7 April lalu dan jumlah itu dikira memadai bagi menampung keperluan penduduk Kuantan seramai 550,000 orang.
Ia juga bagi mengelakkan penyalahgunaan permit tersebut semasa sekatan jalan raya sepanjang tempoh PKP ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!