Keadaan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan, LDP terkawal
SHAH ALAM - Pergerakan kenderaan masih dalam keadaan terkawal walaupun beberapa industri diberi kelonggaran beroperasi pada fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati tiada pertambahan kenderaan pada hujung minggu ini
manakala di Lebuhraya Persekutuan sekitar jam 12 tengah tadi, keadaan lalu-lintas lancar dengan jumlah yang minimum.
Bagaimanapun, berlaku kesesakan kira-kira 500 meter di kawasan pintu gerbang Kota Darul Ehsan rentetan sekatan jalan raya yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tetapi pemandu memberi kerjasama sepenuhnya kepada anggota penguatkuasa yang bertugas.
Selain itu, pemantauan Sinar Harian di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) mendapati keadaan di lalu lintas masih terkawal tanpa sebarang pertambahan kenderaan.
Kebanyakan pemandu mematuhi peraturan ditetapkan apabila hanya seorang individu dilihat berada dalam sebuah kenderaan dalam satu masa.
Peraturan itu dilaksanakan sejak PKP fasa kedua lalu bagi mengehadkan pergerakan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Menerusi pelaksanaan PKP fasa ketiga ini, kerajaan mengumumkan kelonggaran kepada beberapa industri untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP ini dalam mesyuarat Kabinet baru ini.
Susulan pengumuman itu, keadaan lalu lintas di beberapa jalan mulai sesak beberapa hari lalu dengan pertambahan jumlah kenderaan yang meningkat walaupun arahan PKP masih dikuatkuasakan.
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini juga memaklumkan syarikat yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang tempoh PKP akan berdepan tindakan pembatalan kebenaran beroperasi serta-merta.
Beliau berkata, perbuatan syarikat melanggar SOP sepanjang PKP adalah satu kesalahan jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!