'Majikan sembunyi pekerja asing bergejala Covid-19 perlu dihukum'
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kerajaan menghukum majikan yang cuba menghalang atau menyembunyikan pekerja asing mereka yang menunjukkan gejala wabak koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, hukuman yang patut dikenakan kepada majikan yang bertindak seperti itu adalah penjara mandatori dan bukannya dikenakan denda sahaja.
“Perniagaan mereka akan dilarang mengambil pekerja asing pada masa depan jika majikan tidak melaporkan mana-mana pekerja mereka yang menunjukkan gejala Covid-19. Ini bukan masa untuk main sembunyi.
“Majikan mungkin bimbang pekerja asing mereka akan dikuarantin secara beramai-ramai dan perniagaan mereka akan diarahkan tutup beberapa hari secara mandatori untuk proses nyahkuman,” katanya di laman Facebooknya hari ini.
Setakat semalam, seramai 5,251 orang disahkan positif Covid-19 di Malaysia dengan 86 kematian.
Selain itu seramai 2,967 orang telah pulih daripada wabak ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!