DBKL tawar dua pilihan kepada peniaga bazar

Tiada penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri di Kuala Lumpur pada tahun ini susulan penularan wabak Covid-19.
Tiada penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri di Kuala Lumpur pada tahun ini susulan penularan wabak Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menawarkan dua pilihan kepada peniaga berhubung proses tuntutan pemulangan bayaran sewa tapak di Bazar Aidilfitri@Jalan Raja dan Bazar Iftar Ramadan 2020.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam satu kenyataan berkata, bagi pilihan pertama, peniaga yang berhasrat untuk tidak membuat tuntutan bayaran sewa tapak, fi lesen, caj perkhidmatan dan wang cagaran adalah layak secara automatik untuk berniaga di bazar berkenaan bagi tahun hadapan.

Menurutnya, untuk pilihan ini, semua bayaran yang dijelaskan kepada DBKL tidak akan dipulangkan dan akan dibawa untuk penganjuran bazar pada tahun hadapan.

"Bagi pilihan kedua pula, peniaga yang berhasrat untuk menuntut kembali semua bayaran berkenaan perlu membuat proses permohonan berkaitan.

"Namun mereka yang memilih pilihan ini tidak layak untuk berniaga pada tahun hadapan dan perlu membuat permohonan semula sekiranya proses dibuka semula oleh DBKL," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pembatalan penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Susulan itu, DBKL turut memutuskan untuk membatalkan penganjuran Bazar Aidilfitri@Jalan Raja dan Bazar Iftar Ramadan 2020.

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan pihaknya turut memberi tempoh bermula 20 April sehingga 30 April ini buat semua peniaga bazar di 65 lokasi sekitar Kuala Lumpur untuk memilih salah satu daripada dua pilihan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan bagi pemilihan dua pilihan ini adalah muktamad dan tiada sebarang rayuan dibenarkan selepas itu.

"Pihak yang tidak membuat sebarang pilihan akan dianggap memilih pilihan satu dan sebarang rayuan tidak akan dilayan," katanya.

Katanya, bagi peniaga yang membuat bayaran melalui persatuan penjaja perlu berurusan terus dengan pihak berkenaan memandangkan DBKL tidak terlibat dengan sebarang penerimaan atau pemulangan bayaran tersebut.

Peniaga yang ingin membuat pilihan berkenaan boleh melayari laman https://elesen.dbkl.gov.my/ebazar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!