PWTC masih beroperasi seperti biasa

PWTC
PWTC
A
A
A

KUALA LUMPUR - Urusan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Menara Dato Onn masih berlangsung seperti biasa walaupun khabar angin mengatakan sebaliknya, selepas Umno yang merupakan tunjang BN tewas pada PRU14.

PWTC yang mempunyai ruang pameran berkeluasan 25,615 meter persegi merangkumi dewan dan bilik mesyuarat serta Menara Dato Onn adalah milik Umno, manakala Putrade Property Management Sdn Bhd mengendalikan pengurusan dan penyenggaraan.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Bernama perubahan dalam pengurusan akan berlaku pada masa akan datang.

“Perbincangan mengenai hal itu masih diteruskan oleh ketua jabatan,” katanya.

Khabar angin mengatakan Pengarah Urusan Gerbang Perdana Sdn Bhd, Datuk Yahya Abdul Jalil, dijangka mengetuai pengurusan baharu PWTC.

Sebelum ini beliau dilaporkan berkata, pelantikannya sebagai ahli lembaga pengarah Putrade dibuat atas kapasiti peribadi dan bukan sebagai wakil Gerbang Perdana dan menerusi pengalamannya dalam pengurusan bangunan.

Ditanya berhubung dakwaan PWTC merekodkan kerugian akibat pembatalan program, sumber itu berkata, pempamer menzahirkan kebimbangan pada awalnya khususnya agensi berkaitan kerajaan kerana menggunakan bangunan itu selepas PRU14.

Bagaimanapun masalah itu dapat diselesaikan secara berperingkat susulan perbincangan antara pihak berkepentingan yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

“Saya difahamkan tiada sebarang masalah untuk meneruskan penggunaan PWTC sebagai lokasi pameran bagi kementerian dan agensi kerajaan.

“Ini bermaksud tiada pembatalan bagi tempahan yang dibuat, manakala tempahan selanjutnya boleh dilakukan seperti biasa tanpa sekatan,” menurut sumber itu.

Mengenai tempahan persendirian, beliau berkata tiada perubahan bagi tempahan pelanggan persendirian dan pempamer.

“Aliran permintaan adalah stabil dan acara yang dirancang akan menggunakan bilik PWTC dan dewan seperti biasa.

“Acara yang pada kebiasaannya berlangsung di PWTC seperti Pameran Pelancongan MATTA 2019, Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) dan Perfect Livin 2019, akan diteruskan selain pelbagai program lain sepanjang tahun ini,” katanya.

Sumber itu berkata kenyataan dijangka dikeluarkan tidak lama lagi berhubung sebarang perubahan dalam pengurusan PWTC.

Seorang lagi sumber berkata penyewa ruang perniagaan dan ruang komersial di Menara Dato Onn pula akan kekal di bangunan itu walaupun terdapat perubahan terhadap parti yang memerintah.

Menara Dato Onn yang ketika ini menempatkan ibu pejabat UMNO, merupakan bangunan pejabat 40 tingkat dengan 360,000 kaki persegi ruang yang boleh disewakan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!