Pergerakan penduduk di Kampong Bharu dihadkan

Anggota polis dan tentera yang sedang mengawal pintu keluar dan masuk di Kampong Bharu di sini hari ini.
Anggota polis dan tentera yang sedang mengawal pintu keluar dan masuk di Kampong Bharu di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pergerakan penduduk Kampong Bharu di sini, mula dihadkan dengan tidak dibenarkan keluar dari kampung berkenaan oleh pihak berkuasa bermula hari ini.

Tinjauan Sinar Harian pada jam 2 petang hari ini mendapati pihak polis dan anggota tentera mengawasi setiap sekatan jalan raya yang diadakan di pintu masuk dan keluar Kampong Bharu.

Penduduk Kampong Bharu, Khalili Yunus, 55, berkata, mereka hanya dibenarkan untuk membeli barang keperluan dalam kawasan kampung dengan menunggang motosikal atau berjalan kaki sahaja.

"Kami boleh keluar untuk beli barang keperluan tetapi hanya boleh tunggang motosikal atau berjalan, kami juga difahamkan tidak dibenarkan keluar dari kawasan kampung,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Khalili yang juga pemandu teksi berkata, dia hanya keluar bekerja sekiranya menerima tempahan daripada pelanggan untuk mengurangkan pergerakan.

"Jumlah pelanggan semakin kurang dan saya hanya dapat kira-kira RM50 sehari bagi menyara isteri dan lapan anak memandangkan bantuan yang diumumkan kerajaan kepada pemandu teksi belum diterima," katanya.

Seorang lagi penduduk Kampong Bharu, Putih Md Zain, 60, berkata, keadaan di kampung berkenaan semakin sunyi sejak Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

"Pada waktu siang, ada beberapa kenderaan dapat dilihat kerana ada penduduk keluar membeli barang keperluan namun apabila menjelang malam, kampung ini menjadi sunyi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan sebanyak tiga sekatan jalan raya dilakukan di dalam kawasan Kampong Bharu bermula semalam sebagai langkah memperkasakan perlaksanaan PKP di kawasan berkenaan.

"Sekatan jalan raya dalam kampung berkenaan juga bertujuan mengehadkan pergerakan penduduk di kawasan terbabit," katanya.

Sinar Harian dimaklumkan terdapat tiga lokasi di sekitar kampung berkenaan dijadikan sebagai pusat untuk melakukan ujian saringan terhadap penduduk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!