Selangor perkenal dua platform e-dagang sempena Ramadan
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperkenalkan dua platform e-dagang khas iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (PLATS) sempena Ramadan ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, untuk tujuan itu, kerajaan negeri telah mengenal pasti 77 pusat pengumpulan terdiri daripada 10 dewan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 67 restoran yang akan menyediakan juadah Ramadan di seluruh Selangor.
Beliau berkata, semua juadah tersebut akan dihantar oleh rakan penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.
"Semua pusat ini akan mematuhi penjarakkan sosial dan amalan kebersihan yang ketat.
"Sementara peniaga pula telah dipastikan mendapat suntikan tifoid seperti yang digariskan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PBT," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk tidak membenarkan semua jenis gerai dan bazar Ramadan secara pandu lalu serta tempah dan ambil sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP.
Bagaimanapun, Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata, Selangor akan meneruskan konsep jual beli secara e-bazar sepanjang Ramadan ini dengan memastikan penjarakkan sosial dilakukan dalam pelbagai keadaan.
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan itu, Amirudin menegaskan bahawa konsep ‘e-kitchen’ ini hanya berfungsi sebagai pusat pengumpulan sahaja dan tiada sebarang aktiviti memasak akan dibuat di pusat pengumpulan tersebut
"Sebarang bentuk pembelian secara walk-in juga tidak dibenarkan," katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor juga turut berbesar hati menawarkan pembiayaan mudah tanpa faedah kepada peniaga kecil yang layak sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 melalui Skim Hijrah Selangor.
Pihaknya turut menyediakan Insentif Digitalisasi sebanyak RM600,000 bagi menggalakkan peniaga menyertai program berkenaan.
"Kerajaan negeri juga tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk penganjuran program E-Bazar Ramadan Selangor yang lain bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas inisiatif diumumkan ini.
"Inisiatif Digitalisasi Selangor melalui PLATS ini adalah 'game-changer' bagi membantu kita mengharungi norma kehidupan yang baharu ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!