'Makan angin' tepi pantai bawa padah
BESUT - Seorang remaja perempuan bersama dua rakan lelakinya ditahan ketika sedang 'makan angin' di kawasan Pantai Bukit Keluang di sini, kira-kira jam 5 petang kelmarin.
Remaja berusia 17 tahun dan dua lelaki berusia 20-an itu antara 10 individu yang ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, semasa disoal siasat, mereka memberi alasan sekadar bersiar-siar melihat pemandangan laut kerana sudah lama tidak berbuat demikian.
"Selain itu, tujuh lagi individu yang ditahan di sekitar kawasan kampung dan di atas jalan raya di daerah ini memberi macam-macam alasan untuk lepaskan diri, namun bila semakan dibuat, kita dapati ia sekadar alasan untuk keluar rumah tanpa sebab munasabah.
"Ada yang memberi alasan kononnya hendak keluar beli makanan dan barang keperluan harian, tetapi bila diperiksa lanjut, rupanya perjalanan mereka sudah melebihi 10 Kilometer (KM) dari rumah masing-masing selain majoriti ditahan pada waktu malam.
"Sedangkan semua sedia maklum, waktu operasi kedai atau pasar raya hanya dibenarkan pada jam 6 petang sahaja sepanjang tempoh PKP," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Abdul Rozak berkata, seorang daripada 10 yang ditahan berusia antara 17 hingga 46 tahun sudah pun dituduh di Mahkamah Majistret Besut dan dikenakan hukuman penjara dua minggu manakala sembilan lagi masih dalam tempoh perintah reman dan akan didakwa dalam masa terdekat di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Mana-mana individu yang melanggar peraturan di bawah peruntukan berkenaan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!