Pelumba rali bina simulator, jalani latihan di rumah

Muhammad Syakirin Razak membina simulator perlumbaan di rumah yang turut membolehkannya berhubung dengan pelumba lain dari seluruh dunia. - Foto Bernama
Muhammad Syakirin Razak membina simulator perlumbaan di rumah yang turut membolehkannya berhubung dengan pelumba lain dari seluruh dunia. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dalam usaha memastikan dirinya kekal positif dan dapat terus berlatih di waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelumba rali profesional Muhammad Syakirin Razak membina simulatornya sendiri.

Muhammad Syakirin, 35, sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar dengan membina sendiri simulator perlumbaan di rumah yang turut membolehkannya berhubung dengan pelumba lain dari seluruh dunia.

Katanya, simulator itu dibina dengan menggunakan konsol permainan sebagai platform utama dan ditambah dengan beberapa komponen kelengkapan jentera lumba sebenar yang diubahsuai, bagi meningkatkan tahap keberkesanan dan kualiti latihan yang diperlukan.

"Simulator yang direka ini mampu memberikan situasi latihan sebenar bagi pelumba rali, kerana ia turut dilengkapi dengan peralatan jentera sebenar dan perisian permainan sukan elektronik.

"Tambah menarik simulator ini juga boleh menghubungkan saya dan rakan-rakan pelumba dari negara lain, untuk sama-sama berlatih secara atas talian," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Muhammad Syakirin berkata, beliau berlatih kira-kira lima jam untuk setiap satu sesi latihan, dan melakukannya secara berkala.

Sementara itu, akibat penularan Covid-19 beliau yang juga pelumba persendirian berkata, sebagai ahli sukan profesional, beliau turut terkesan dan menerima tempiasnya ekoran beberapa syarikat telah menarik balik komitmen penajaan.

Ia berikutan banyak perlumbaan yang telah ditangguh, serta dibatalkan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Syakirin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tenaga Nasional, merupakan satu-satunya pelumba persendirian dari Terengganu, yang aktif menyertai siri perlumbaan Kalendar Kejuaraan Rali Malaysia dan menerima jemputan dari seluruh dunia sejak 2012. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!