Pemimpin PKR tegur timbalan menteri langgar PKP

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegur tindakan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila makan beramai-ramai.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbuatan Dr Noor Azmi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol, Razman Zakaria itu menimbulkan kemarahan rakyat.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya meminta rakyat tidak keluar rumah manakala Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberi amaran tindakan tegas kepada yang ingkar perintah itu.

"Menteri (Kanan Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) umum bukan lagi denda RM1,000 malah terus dihadap ke mahkamah. KP (Ketua Pengarah Kesihatan) Dr Noor Hisham (Abdullah pula) rayu minta rakyat patuh

"Rakyat faham rasional perintah (PKP) ini tujuan memutuskan jangkitan virus. Umumnya patuh biarpun masih ada segelintir melanggar arahan. Saban hari berita yang ditahan dipaparkan media sebagai ingatan dan pengajaran kepada yang lain.

"Tentunya apabila Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco kerajaan Perak Haji Razman Zakaria siap berjamu, berfoto dan berkongsi berita bangga menghebahkannya menimbulkan kemarahan rakyat," katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan Dr Noor Azmi membawa rombongannya yang turut diiringi Razman melakukan lawatan ke Maahad Tahfiz di Lenggong, Perak di Facebooknya sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga merupakan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu mempersoalkan sistem undang-undang di negara ini sekiranya tiada tindakan diambil kepada pemimpin terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Ada dua set undang-undang? Satu untuk rakyat dan satu untuk pembesar? Pembesar kebal undang-undang ? IGP (Ketua Polis Negara) tentu ada jawapan. Rakyat memerhati," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!