APMM perketat kawalan sempadan melalui tinjauan udara
KUALA LUMPUR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengadakan tinjauan udara hari ini bagi mengesan pergerakan mencurigakan di laut khususnya cubaan bot dan kapal untuk menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) serta aktiviti jenayah maritim.
Tinjauan udara berkenaan diketuai Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah/Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly.
Melalui tinjauan itu, APMM menggunakan helikopter jenis AW139 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan dikendalikan Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi bersama pembantu juruterbang Leftenan Madya Maritim Muhamad Khairul Anwar Farizul serta kru Bintara Kanan Maritim Sudin Appe.
Menurut Zulinda, penerbangan ke Langkawi yang menuju laut itu adalah sebagai rutin pemantauan sempadan perairan negara di utara Semenanjung.
"Tinjauan pagi ini meliputi persekitaran Selat Cincin menghala ke barat dan terus ke sempadan perairan Thailand melibatkan jarak sejauh 40 batu nautika.
"Kita akan terus menjalankan pemantauan melalui udara bagi menjaga perairan negara dan mengekang kemasukan PATI dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Zulinda berkata, pada masa sama aset-aset APMM yang lain juga turut mempergiatkan pemantauan PKP bagi menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Seksyen 3 Akta 342).
"Dalam tempoh PKP ini, hanya aktiviti penangkapan ikan oleh bot-bot nelayan tempatan berlesen serta perkhidmatan penting seperti feri membawa keluar masuk pekerja sektor penting dan bekalan makanan sahaja dibenarkan beroperasi.
"Bagi perkhidmatan feri di Langkawi hanya satu sesi perjalanan sahaja iaitu feri keluar pada jam 11 pagi dan masuk pada jam 4 petang," katanya.
Beliau berkata, pada kebiasaannya penjenayah maritim terutamanya penyeludup PATI sering bergerak pada awal pagi sebelum matahari terbit.
"Pada waktu inilah penyeludup menggunakan kesempatan ini bagi mengaturkan pergerakan bot dan kapal memasuki perairan negara.
"Trend ini dilihat agak popular dan menjadi ruang masa yang kritikal dalam pemantauan pergerakan mereka," katanya.
Menurutnya, berdasarkan trend tersebut pihaknya mengambil inisiatif menggerakkan aset udara dan laut pada waktu berkenaan bagi memastikan perairan negara tidak dibolosi khususnya oleh rangkaian penyeludup PATI.
"Pada masa yang sama aset laut APMM termasuk KM Marudu, KM Mulia dan KM Marlin serta bot Petir juga turut siap siaga untuk mengusir bot dan kapal yang membawa PATI serta menangkap penceroboh di perairan negara," katanya.
Katanya, dalam tempoh PKP di persempadanan perairan utara negara, APMM Kedah dan Perlis juga mengambil peluang ini untuk menilai keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) dalam perlaksanaan operasi bersepadu dengan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khasnya SOP operasi Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!