FOB APMM sekat aktiviti pencerobohan laut sepanjang PKP

A
A
A

KOTA BHARU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan memperketat kawalan di perairan negara melalui penubuhan Pasukan Pengkalan Hadapan (FOB) di Taman Galeri Tengku Anis, Tumpat bagi menyekat sepenuhnya pergerakan keluar masuk pendatang asing tanpa azin (PATI) dan potensi kes import koronavirus (Covid-19) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah APMM negeri, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, FOB yang beroperasi sejak 31 Mac itu ditempatkan di lokasi strategik berhampiran dengan laut dan sungai dengan bertindak 'memagari' kawasan yang digunakan secara bersama oleh APMM Malaysia-Thailand.

Anggota APMM yang komited dan lengkap bersenjata berkawal di perairan sepanjang PKP berkuatkuasa.
Anggota APMM yang komited dan lengkap bersenjata berkawal di perairan sepanjang PKP berkuatkuasa.

Menurutnya, seramai 40 pegawai dan anggota lengkap bersenjata menggunakan ‘sea boat’, bot pintas dan teropong versi malam akan melakukan pemantauan secara berterusan dan bergilir-gilir terhadap pergerakan keluar masuk bot yang melintasi kawasan pemecah ombak.

”Pasukan juga akan melakukan pemeriksaan terhadap buku lesen, lesen bot, kad nelayan dan kewarganegaraan setiap individu yang melalui kawasan tersebut secara cekap sama ada pada waktu siang mahu pun malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam penugasan itu, kesemua kemungkinan diambil kira bagi membendung sebarang pelanggaran arahan PKP termasuk potensi aktiviti jenayah penyeludupan di perairan negara.

“Jenayah penyeludupan mungkin bergerak secara aktif melakukan pertukaran kru warganegara asing melalui jalan laut dan mungkin juga terdapat mana-mana individu yang tidak termasuk dalam kategori nelayan cuba untuk mengambil kesempatan berlakon seperti nelayan untuk keluar ke laut bagi mengisi masa lapang.

Artikel Berkaitan:

Semua bot dan individu akan diperiksa dan tidak ada yang terlepas jika melanggar PKP.
Semua bot dan individu akan diperiksa dan tidak ada yang terlepas jika melanggar PKP.

“Kemungkinan ada pengusaha bot sukan memancing yang meneruskan aktiviti seperti biasa atau pun pengusaha bot nelayan yang cuba mengambil keuntungan mudah dengan menawarkan perkhidmatan sebagai pelantar memancing kepada penggemar tegar, juga akan diambil kira dan diperiksa,” katanya.

Muhd Nur Syam Asmawie berkata, dalam lawatan kerja Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di sempadan Malaysia-Thailand di perairan Golok, semalam, beliau turut menyatakan kesediaan APMM Kelantan untuk bekerjasama dengan agensi lain dalam menguatkuasakan undang-undang persekutuan.

Menurutnya, pelaksanaan penguatkuasaan FOB dilakukan secara berperingkat bermula dengan fasa pertama iaitu meningkatkan kesedaran dan kefahaman komuniti supaya membataskan pergerakan dan mengambil langkah penjagaan kebersihan diri sebagaimana arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Anggota FOB akan merapati bot nelayan yang hendak keluar ke laut dan membuat pemberitahuan berkenaan PKP menggunakan sistem pembesar suara.

“Bagi nelayan, mereka tidak perlu gusar kerana sasarannya hanya mahu mereka faham dan patuh akan arahan PKP selain mencukupi syarat seperti garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia. Tidak ada masalah bagi mereka meneruskan aktiviti seperti biasa,” katanya.

Seterusnya pada fasa kedua, katanya, pihaknya tidak akan berkompomi terhadap individu ingkar arahan PKP dan penguatkuasaan akan dilaksanakan serta pesalah akan disiasat.

Semua bot dan individu akan diperiksa dan tidak ada yang terlepas jika melanggar PKP.
Semua bot dan individu akan diperiksa dan tidak ada yang terlepas jika melanggar PKP.

“Kerajaan menyalurkan maklumat secara berterusan pada setiap hari. Tidak ada alasan untuk sebarang kesalahan terus dilakukan. Seperti yang dilaksanakan (PDRM) di darat akan dikuatkuasakan juga di laut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, APMM Kelantan turut bekerjasama dengan Majlis Daerah Pasir Puteh dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali dengan menempatkan anggota bersenjata di Jeti LKIM Tok Bali bagi membantu memantau, menyaring dan mengawal selia pendaratan ikan oleh bot-bot nelayan.

“Langkah bagi memastikan bahawa awak-awak dan tekong yang hendak mendaratkan ikan berada dalam keadaan bersih daripada sebarang gejala dan tanda awal jangkitan Covid-19,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!