Majoriti kes baharu Covid-19 di Singapura libatkan pekerja di asrama
SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan tambahan 942 kes jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif setakat ini sebanyak 5,992 kes.
Kementerian itu berkata, jumlah besar kes baharu itu melibatkan pemegang Permit Kerja yang menginap di asrama pekerja asing.
“Bilangan kes rakyat tempatan dan penduduk tetap terus menurun dengan 14 kes baharu setakat tengah hari ini.
“Kami masih meneliti perincian kes dan kemas kini lebih lanjut akan dimaklumkan melalui kenyataan media malam ini,” katanya kementerian itu dalam kenyataan.
Setakat semalam, 3,267 kes diklasifikasikan sebagai penghuni asrama, 258 pemegang permit yang tidak tinggal di asrama, 956 kes dalam komuniti dan 569 lagi adalah kes import,
Singapura telah mewartakan 12 daripada 20 asrama yang terjejas sebagai kawasan isolasi dengan majoriti yang dijangkiti wabak itu adalah dari Bangladesh, India, China dan Myanmar.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!