Jenayah 1MDB di Malaysia dan AS

A
A
A

ADA dua, tiga perkembangan bersangkutan dengan ekonomi dan kewangan negara yang dilaporkan dalam seminggu dua ini.

Pada masa ekonomi negara dan dunia mula gawat akibat pandemik (wabak besar) koronavirus (Covid-19) sejak akhir tahun lalu, bukan saja orang perseorangan yang suntuk duit, malah syarikat, majikan, pelabur dan kerajaan pun susah juga.

Alhamdulillah, dalam apa keadaan pun, negara kita boleh dikatakan lebih bernasib baik daripada banyak negara lain. ALLAH Ta’ala sayang kepada kita.

Pasal itulah saya, secara peribadi, amat kecewa dengan permainan politik sebahagian orang siasah kita. Kita pilih mereka dalam pilihan raya untuk mentadbir negara. Bila menang mereka jatuhkan kerajaan mereka sendiri.

Berita pertama yang saya rasa orang kita tak peduli ialah langkah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) longgarkan pembayaran balik hutang oleh 25 buah negara kepadanya.

Negara-negara ini terjejas teruk akibat Covid-19 sampai tak mampu bayar balik hutang kepada IMF. Kita tidak ada masalah pasal kita tidak berhutang dengan IMF.

Kita ada hutang luar negara tapi dengan IMF tak ada. Kalau kita ingat lagi, masa Tun Dr Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri kali pertama, beliau tolak cadangan berhutang dengan IMF masa krisis ekonomi Asia tahun 1997-98.

Ekonomi kita mula terjejas sebelum Covid-19 lagi. Masa itu akibat perang dagang Amerika Syarikat (AS)-China. Sekarang dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagilah teruk. Kilang, syarikat dan orang yang bekerja sendiri hilang pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Itulah kadang-kadang timbul juga dalam fikiran: kita ini takut dan tunduk kepada virus itu sampai bila dan had mana? Di tempat lain di dunia sudah ada orang mati bukan kerana Covid-19 tapi kerana kebuluran.

Berita nombor dua berkenaan agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings kekalkan markah hutang luar kita pada A tolak (A-). Tapi ia menurunkan jangkaan masa depan daripada stabil kepada negatif.

Jadi saya harap Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang umumkan hasil penarafan itu janganlah seronok sangat. Lagipun kalau tak silap saya, kita sendiri yang upah Fitch buat penarafan itu.

Mana-mana negara yang berhutang guna mata wang asing terpaksa buat penarafan kerana ia adalah syarat biasa.

Berita ketiga ialah pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkenaan kerajaan AS pulangkan AS$300 juta duit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dengan itu, jumlah yang dipulangkan kepada kita adalah AS$620 juta atau lebih kurang RM2.38 bilion.

Itu adalah duit 1MDB yang dicuri oleh beberapa orang termasuk Jho Low dan Riza Shahriz Abdul Aziz. Jho Low ialah sahabat karib keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kesemua duit itu dirampas Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) di bawah undang-undang yang dipanggil KARI iaitu singkatan kepada Kleptocracy Asset Recovery Initiative atau inisiatif bagi dapatkan balik duit negara yang dicuri kerajaan yang mencuri.

Tujuan asal DoJ ialah ia tidak mahu duit yang dicuri oleh pemerintah atau ahli politik negara luar dibawa masuk dan dilaburkan di AS.

Usaha dapatkan balik duit rampasan itu dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). Serentak ia mulakan siasatan dan pertuduhan ke atas Najib bersabit rasuah melibatkan syarikat SRC International iaitu bekas anak syarikat 1MDB.

Pemulangan duit curi 1MDB oleh AS itu kukuhkan lagi kepercayaan bahawa berlaku skandal penyonglapan duit negara yang amat besar pada zaman pemerintahan Najib.

Di Malaysia, kes perbicaraan Najib berjalan kira-kira tujuh bulan. Kita tak tahu berapa lama lagi akan diselesaikan. Inilah cabaran yang dihadapi sistem kehakiman kita, khususnya selepas perubahan kerajaan.

Maka, tidak hairanlah jikalau timbul kebimbangan mengenainya. Saya yakin kehakiman kita bebas dan berintegriti. Wallahuaklam.

Mana-mana pun negara yang berhutang guna mata wang asing terpaksa buat penarafan kerana ia adalah syarat biasa.”

* A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!