Lantikan naungan politik

A
A
A

KRITIKAN Pakatan Harapan (PH) terhadap perubahan kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat melucukan.

Bersungguh PH mendakwa Muhyiddin menggunakan pelantikan dalam GLC untuk menguatkan pengaruh politiknya. Seolah-olah ia sesuatu yang keji dan tidak pernah dibuat mereka.

PH turut menganggap pelantikan ahli Parlimen sebagai Pengerusi GLC dan agensi tertentu sebagai satu tindakan memusnahkan segala inisiatif reformasi ke arah tatakelola baik (good governance) yang dilaksanakan PH sebelum ini.

Benar Perdana Menteri membuat sebahagian pelantikan itu atas dasar politik.

Perdana Menteri perlu menguruskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan berhati-hati kerana ia membabitkan pelbagai parti politik yang semuanya tidak mempunyai kerusi Parlimen yang dominan.Parti Bersatu yang diwakili Muhyiddin bukan sahaja tidak mempunyai kerusi dominan, malah beliau sendiri tidak mendapat sokongan semua Ahli Parlimen Bersatu.

Ini bukan salah Muhyiddin kerana beliau tidak merancang menjadi Perdana Menteri. Pertelingkahan kuasa dalam PH antara kem Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyebabkan Muhyiddin mengambil inisiatif menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Justeru, mahu atau tidak, Muhyiddin perlu memuaskan hati banyak orang bagi menstabilkan kerajaan ini.

Adalah sangat penting untuk kerajaan ini stabil supaya kita boleh menang dalam perang menentang Covid-19 dan ekonomi dapat dipulihkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pelantikan ahli Parlimen dan individu naungan politik (political patronage) sebagai Pengerusi GLC dan agensi bukanlah sesuatu yang negatif dan tiada pertimbangan waras.

Kebanyakan pengurusan harian, strategi dan pelaksanaan perniagaan syarikat diurus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bukannya Pengerusi.

Pengerusi Bukan Eksekutif tidak lebih daripada seorang yang diberi tanggungjawab mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah dan mesyuarat agung, menandatangani minit mesyuarat dan menjadi penentu jika undian dalam lembaga pengarah syarikat berkedudukan seri.

Justeru, tujuan keberadaan kalangan ahli politik dalam GLC dan agensi adalah bertujuan untuk mengimbangi dan mewakili kepentingan kerajaan dan rakyat dalam GLC.

Adalah berbahaya jika GLC dan agensi seperti Tenaga Nasional Berhad, Telekom, Felda, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Tabung Haji dan Felda diurus orang korporat semata-mata.

Keputusan-keputusan mereka kelak hanya mengambil kira memaksimumkan keuntungan syarikat dan diri, tanpa mengambil kira kepentingan kerajaan dan keperluan rakyat.

Inisiatif

Dengan kata lain, suara-suara politik perlu ada dalam GLC dan agensi kerana tujuan institusi ini terus berkait dengan kerajaan juga adalah menjaga kepentingan rakyat.

Malah kebanyakan Ahli Parlimen PN sekarang mempunyai kelayakan akademik tinggi dan pengalaman yang luas dalam bidang korporat dan perkhidmatan profesional.

Tidak benar sama sekali bahawa PH mengadakan inisiatif reformasi mereka ke arah tatakelola baik (good governance) dengan mengasingkan GLC daripada naungan politik.

Pada 7 Oktober 2019, Dr Mahathir yang mengetuai kerajaan PH ketika itu mengakui bahawa kerajaan akan terus melantik mereka yang banyak berjasa kepada parti dan memenangkan PH pada pilihan raya umum lalu.

“Inilah masalahnya, kita tidak patut bagi mana-mana jawatan kepada orang yang bekerja keras menangkan parti, tetapi yang dapat nikmat jawatan adalah mereka yang tidak membantu parti. Apabila ini berlaku, maka kecewalah mereka yang bertungkus-lumus membantu PH,” katanya.Kenyataan Dr Mahathir itu bukti jelas bahawa PH tidak pernah mempunyai polisi mengasingkan GLC dan agensi daripada orang politik seperti yang mereka cuba kelirukan rakyat.

Cukuplah menyebut bahawa kedudukan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan Tan Sri Zeti Akhtar sebagai Pengerusi PNB adalah sebahagian lantikan naungan politik PH.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!