Pembayaran BPN secara tunai sehingga 31 Disember
KUALA LUMPUR - Bank Simpanan Nasional (BSN) telah melaksanakan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) secara tunai kepada penerima-penerima yang tidak mempunyai akaun bank atau gagal kredit bermula 17 April 2020 sehingga 31 Disember 2020.
Menurut BSN, penerima-penerima BPN kategori ini boleh hadir ke cawangan-cawangan BSN yang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.
Bagaimanapun, jelas BSN, penerima-penerima dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu melalui laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri atau Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Kementerian Kewangan Malaysia sebelum hadir di mana-mana cawangan BSN.
Katanya, BSN juga sedang giat memantau dan melakukan yang terbaik bagi memastikan proses pembayaran BPN berjalan lancar.
“Untuk memastikan proses pembayaran BPN dijalankan dengan lebih lancar, BSN telah melanjutkan waktu operasi perbankan pada hari Sabtu dan Ahad (18 serta 19 April 2020) di cawangan-cawangan BSN terpilih di seluruh negara,” jelas bank tersebut.
Tambahnya lagi, langkah-langkah keselamatan semasa berada di premis cawangan BSN, amat dipandang berat seperti penjarakkan sosial, pemakaian topeng selain melakukan pemantauan suhu badan sebelum memasuki cawangan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!