Rindu gurauan Almarhum Sultan Azlan

Kenangan Ishak bersama Almarhum Sultan Azlan.
Kenangan Ishak bersama Almarhum Sultan Azlan.
A
A
A

SETIAP kali berjumpa, kalau tak mengusik dan ketawa, tak sah dibuatnya.” Itu antara momen dikongsi bekas Pengarah Penguat Kuasa Imigresen Malaysia, Datuk Ishak Mohamed apabila mengenang saat-saat bersama Sultan Perak ke-34, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Ishak, 66, yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Sako pada mulanya tidak menyangka bahawa Almarhum Sultan Azlan ialah seorang yang amat suka berjenaka. Menurutnya, sikap itu hanya ditonjolkan Almarhum dalam kalangan kenalan rapat sama ada ketika bertemu pada program rasmi atau majlis persendirian.

“Almarhum bercakap menggunakan loghat Perak yang pekat. Kebetulan saya orang Parit, memang seronoklah bersembang kalau sesekali berjumpa. Bila berjumpa, Almarhum akan bertanyakan tentang joke baru untuk dikongsi, jika tiada Almarhum sendiri akan beri,” katanya.

Antara jenaka yang masih diingati Ishak adalah apabila Almarhum meminta mereka memberikan terjemahan dalam bahasa Inggeris bagi frasa ‘rusa tiada mata’. Katanya, semua kenalan yang ada di situ gagal memberikan jawapan tepat.

“Saya jawab mungkin blind deer, tetapi Almarhum kata itu ‘ruse bute’, lalu Almarhum dengan bersahaja menjawab no eye deer iaitu merujuk kepada tiada idea (no idea) untuk jenaka baharu,” katanya.

Satu lagi jenaka yang dikongsi Almarhum adalah mengenai kisah seorang Pegawai Daerah Parit. Pegawai itu orang luar dan malu apabila sering diejek rakan-rakan dalam mesyuarat di Kuala Lumpur kerana mewakili daerah bernama Parit.

“Terkesan dengan ejekan itu, pegawai itu pun mengumpulkan semua ketua kampung dan meminta cadangan nama baharu untuk menggantikan nama Parit.

“Dia beri tempoh seminggu, tetapi tak sampai tiga hari semua ketua kampung datang semula, yang lucunya bukan nama tempat baharu yang mereka cadangkan, sebaliknya meminta pegawai itu bertukar untuk diganti dengan pegawai baharu dan nama Parit tetap kekal,” ceritanya.

Artikel Berkaitan:

Ishak mengimbau kenangan bersama Almarhum Sultan Azlan.
Ishak mengimbau kenangan bersama Almarhum Sultan Azlan.

Ishak berkata, beliau bertuah dikurniakan kelebihan sebagai pengacara majlis dan boleh bergurau dengan Tuanku malah ada ketikanya terbawa-bawa ke majlis yang dikendalikannya.

Baju Melayu

Atas kelebihan itulah, boleh dikatakan dalam hampir kebanyakan majlis yang dihadiri Almarhum, ia diacarakan sendiri oleh Ishak sehingga beliau mendapat jolokan ‘MC Diraja’.

“Kalau kena dengan lawaknya, Almarhum boleh ketawa sampai tepuk-tepuk meja. Macam satu cerita saya kongsikan bersama Tuanku mengenai seorang pak cik tua di sebuah stesen kereta api bertanyakan jadual perjalanan untuk ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Pada mulanya Almarhum menyangka pak cik itu mahu membeli tiket, rupa-rupanya dia hanya mahu menyeberang landasan kereta api, sampai ke sudah Tuanku ketawa,” katanya.

Anak kelahiran Kampung Selat, Layang-Layang Kiri itu berkata, hubungan rapat bersama Almarhum terjalin ketika beliau bertugas di Perak sebagai Pengarah Imigresen pada tahun 2001.

“Pertama kali saya diminta iringi Tuanku ketika Tuanku solat Jumaat di Masjid Negeri, saya pun cepat-cepat mengenakan baju Melayu siap dengan songkok dan kain samping benang emas.

“Bila Tuanku sampai, saya terkejut kerana Tuanku cuma pakai baju Melayu dan samping corak pelikat. Sampai giliran saya bersalam, Tuanku berseloroh, bertanyakan sama ada saya ke masjid untuk bersolat atau bernikah,” katanya.

Almarhum Sultan Azlan yang juga merupakan bekas Ketua Hakim Negara mangkat pada 28 Mei 2014 di Institut Jantung Negara kerana gering pada usia 86 tahun. Anakanda Almarhum, Sultan Nazrin Muhibbuddin Shah kemudian ditabalkan sebagai Sultan Perak ke-35.

Ishak bersama isterinya, Datin Rohayati Ismail, 67.
Ishak bersama isterinya, Datin Rohayati Ismail, 67.

Ishak berkata, beliau adalah antara individu yang diberi penghormatan dan diperkenan untuk menziarah ketika Almarhum gering.

“Bila dapat tahu Tuanku panggil, saya ingatkan ia satu gurauan, rupa-rupanya betul. Tuanku yang sedang gering masih sempat bertanyakan khabar saya dan keluarga.

“Sampai bila-bila pun rindu saya kepada Almarhum tidak akan hilang, lebih-lebih lagi dengan gelak ketawa dan gurauannya. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan diletakkan bersama roh orang-orang yang soleh,” ujarnya.

Berkongsi mengenai kisah di sebalik nama gelaran Pak Sako, beliau berkata, ia adalah rentetan namanya yang sama dengan nama pena tokoh persuratan Melayu, Allahyarham Dr Ishak Haji Muhammad.

Katanya, ketika beliau dilahirkan sekitar tahun 1950-an, figura Pak Sako begitu terkenal sebagai seorang pejuang nasionalis dan sasterawan.

“Mungkin kerana itulah arwah ibu bapa menamakan saya Ishak, tetapi orang-orang dulu kata kalau nama 'berat' budak selalu demam. Tahun-tahun pertama memang saya selalu demam, jadi terpaksalah orang kampung panggil saya dengan nama lain iaitu ‘Midun’, bila dah besar nama Midun pun hilang dan diganti Pak Sako,” katanya.

Ditakdirkan Tuhan, sekitar tahun 1975, beliau dapat bersua muka dengan Pak Sako sendiri ketika makan di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

“Itulah kali pertama dapat jumpa, perasaan seronok tak dapat nak digambarkan, seronok dan teruja tetapi sayang ketika itu kita tak ada telefon pintar yang boleh ‘selfie’, jadi sampai sekarang saya tak ada gambar bersama Pak Sako sebenar,” katanya.

Secara peribadi, beliau sangat berbesar hati apabila orang lebih mengenali dan memanggilnya dengan nama Pak Sako.

“Almarhum Sultan Azlan pun memanggil saya Pak Sako. Kalau orang Perak tak tahu siapa Pak Sako ini, memang nayalah, mesti bukan orang Perak,” katanya berseloroh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!