Johor perketat saringan rakyat pulang dari Singapura

Kerajaan Johor akan memastikan prosedur kemasukan warganegara Malaysia yang pulang dari Singapura dipantau melalui proses saringan yang ketat oleh petugas Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen.
Kerajaan Johor akan memastikan prosedur kemasukan warganegara Malaysia yang pulang dari Singapura dipantau melalui proses saringan yang ketat oleh petugas Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan memastikan prosedur kemasukan warganegara Malaysia yang pulang dari Singapura dipantau melalui proses saringan yang ketat oleh petugas Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen (JIM) Johor.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, ini kerana kes kumulatif positif koronavirus (Covid-19) di republik itu terus meningkat ketika ini dan pihaknya memandang serius perkembangan tersebut.

Beliau berkata, terdapat beberapa prosedur kemasukan warganegara Malaysia yang pulang dari Singapura iaitu jika disaring dan menunjukkan gejala, mereka akan terus dirujuk ke hospital untuk tindakan lanjut.

"Bagi pekerja yang mempunyai permit pekerjaan dan surat pengesahan SWAB Negative Covid-19 RT Polymerase Chain Reaction (PCR) Test, mereka dibenarkan pulang ke rumah dan dibekalkan dengan Health Alert Card, Home Assessment Tools, Notis Arahan Seksyen 15 (Home Quarantine) dan Rapid Test Kit (RTK) D13.

"Untuk pekerja yang mempunyai permit pekerjaan tetapi tidak memiliki surat pengesahan SWAB Negative Covid-19 RT PCR Test, mereka akan dihantar ke Pusat Saringan Kesihatan di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) Johor Bahru untuk tindakan lanjut sama ada dirujuk ke hospital atau dihantar ke stesen kuarantin yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam Singapura mencatatkan pertambahan 942 kes positif baharu Covid-19 yang merupakan jumlah kenaikan tertinggi yang telah dicatatkan sehingga kini, jumlah keseluruhan kes kumulatif positif adalah 5,992 kes.

Vidyananthan berkata, bagi mereka yang bukan pekerja di Singapura seperti penduduk tetap dan pemegang pas jangka masa panjang, mereka akan dihantar ke Pusat Saringan Kesihatan di Marsah sama ada dirujuk ke hospital atau dihantar ke stesen kuarantin yang disediakan.

Jelas beliau, kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Singapura banyak membantu untuk memastikan kesihatan dan kebajikan pekerja Malaysia dipantau dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Apabila terdapat maklumat kes positif atau 'close contact', ia akan dikongsi antara kedua-kedua pihak dan membolehkan 'contact tracing' dibuat dengan segera," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!