KPDNHEP kesan peniaga kelirukan harga beras
KLANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengambil tindakan ke atas sebuah pasar raya di Taman Klang Sentral, Meru, di sini, semalam, selepas dipercayai menjual beras berjenama dengan harga yang mengelirukan.
Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan anggotanya di premis berkenaan pada jam 2 petang.
"Pemeriksaan awal dibuat mendapati harga runcit yang dipamerkan pada plastik beras bagi kuantiti 10 kilogram adalah RM53.30, namun tanda harga di kaunter pembayaran adalah RM54.70.
"Anggota pemeriksa kemudian telah membuat semakan sistem dan mendapati harga jualan sejak Mei lalu sehingga April adalah berharga RM54.70," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Susulan kekeliruan harga itu, beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 14 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Katanya, tindakan kes itu diambil berdasarkan aduan orang ramai berhubung peningkatan harga barangan keperluan harian khususnya melibatkan beras.
"Peniaga diingatkan lebih berhati-hati untuk memastikan harga yang ditawarkan adalah sama dengan harga pada tag barang tersebut.
"Peniaga juga diingatkan tidak mengambil kesempatan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan," katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan lanjutan tempoh pelaksanaan PKP sehingga 28 April bagi mengehadkan pergerakan masyarakat dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!