Syed Saddiq bidas dakwaan Dr Adham
SHAH ALAM – Kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal membendung kluster himpunan tabligh di Masjid Sri Petaling berhubung penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini terus dipersoalkan oleh beberapa pemimpin lain.
Antaranya bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membidas kenyataan itu dengan berkata, Dr Adham perlu ingat bahawa Menteri Dalam Negeri ketika itu adalah Perdana Menteri sekarang ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Adakah YB sedar bahawa Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab semasa kluster tabligh adalah YAB Perdana Menteri kini, Tan Sri Muhyiddin Yassin? Bila nak menuduh, biar cerdik,” katanya yang juga Ahli Parlimen Muar menerusi kenyataannya di Twitter.
Semalam, Dr Adham berkata, sekiranya kerajaan PH ketika itu berjaya membendung penularan Covid-19, Malaysia hanya akan berdepan kluster jangkitan yang kecil.
Adham berkata demikian ketika sesi telesidang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dimuat naik di Facebook.
Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jika Dr Adham berkeras mahu menyalahkan pentadbiran PH terhadap kluster jangkitan Sri Petaling seperti dinyatakan ketika sesi telesidang itu, beliau perlu sedar bahawa kelulusan perhimpunan itu berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN), bukan Kementerian Kesihatan.
Perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling berlangsung pada 27 Februari lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti bahawa jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan jemaah tabligh memasuki tahap generasi kelima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!