Isu kluster tabligh: Dr Dzulkefly gesa henti berpolitik
SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menggesa supaya Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berhenti berpolitik dalam keadaan negara berdepan wabak koronavirus (Covid-19) dan juga dalam tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Dr Dzulkefly berkata, lebih konstruktif seandainya Dr Adham benar-benar menguasai realiti cabaran getir yang dihadapi negara mutakhir ini dengan menampilkan kepimpinannya sebagai seorang menteri dengan mengesyorkan pemikiran dan cadangan yang jelas serta tuntas.
"Antaranya memikirkan bagaimana ‘exit strategy' mampu diolah dengan pendekatan berteraskan 'data and evidence' digunakan untuk membimbing Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Kabinet, membuat langkah-langkah 'penamatan PKP/MCO bertahap-berfasa' ke depan nanti.
"Selain itu, membimbing Kabinet dalam isu menangani 'kajian immuniti' atau 'sero-surveillance' bagi mengenal pasti 'tahap infeksi dalam negara dan komuniti' bagi merancang secara konkrit ‘penamatan PKP' serta mengorak langkah untuk 'jump start the economy'.
“Amat parah ramalan MIER (Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia) yang mengunjurkan rakyat yang akan kehilangan 2.4 juta pekerjaan serta mengalami pertumbuhan negatif - 2.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau malam tadi.
Dr Dzulkefly berkata, Dr Adham juga perlu menangani dan menyelesaikan tuntutan pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE) contohnya ‘gowns’, ‘face shields’, ‘plastic aprons’, ‘boots’ dan penutup kepala serta pengedaran secara meluas dan seimbang khasnya untuk 'frontliners' sama ada untuk warga Kementerian Kesihatan serta sukarelawan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Sekali lagi saya menyeru pihak kerajaan dan pembangkang serta swasta dan NGO supaya bersama menggembleng tenaga, dana dan kepakaran untuk segera mengurus seterusnya krisis Covid-19 dengan pendekatan lebih berkesan, bertanggungjawab, telus dan berintegriti,” katanya.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, jika Dr Adham berkeras mahu menyalahkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terhadap kluster jangkitan Sri Petaling seperti dinyatakan ketika sesi telesidang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, beliau perlu sedar bahawa kelulusan perhimpunan itu berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukannya Kementerian Kesihatan.
Terdahulu, Dr Adham ketika sesi telesidang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dimuat naik di Facebook berkata, sekiranya kerajaan PH ketika itu berjaya membendung penularan Covid-19, Malaysia hanya akan berdepan kluster jangkitan yang kecil.
Perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling berlangsung pada 27 Februari lalu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti bahawa jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan jemaah tabligh memasuki tahap generasi kelima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!