PDRM tubuh ‘jammed squad’ pantau kesesakan sekatan PKP

Azisman pada sidang media Trend Aliran Trafik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
Azisman pada sidang media Trend Aliran Trafik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan 'jammed squad’ bagi memantau kesesakan lalu lintas menggunakan motosikal di sekatan jalan raya di sekitar Lembah Klang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pasukan itu terdiri daripada 20 pegawai dan anggota JSPT turut melakukan pemantauan udara menggunakan dron.

"Selain itu, kita juga membuka laluan khas kepada kenderaan perkhidmatan penting dan barisan hadapan di setiap sekatan jalan raya bagi mengelakkan kesesakan,” katanya pada sidang media trend aliran trafik sepanjang PKP di Bukit Aman di sini hari ini.

Azisman berkata, tindakan segelintir individu yang bukan kategori perkhidmatan penting keluar pada waktu puncak sepanjang tempoh PKP menyebabkan kesesakan luar biasa di beberapa lokasi sekatan jalan raya terutama di Lembah Klang.

"Berdasarkan analisis dilakukan di beberapa lokasi mendapati kesesakan berlaku pada dua waktu puncak terutama pada hari bekerja iaitu antara jam 7 pagi hingga 1 tengah hari serta 5 hingga 7 petang.

"Kita mengenal pasti beberapa lokasi di empat kontinjen yang mengalami kesesakan hingga lebih 1km pada satu masa membabitkan enam lokasi di Kuala Lumpur, Selangor (5), Melaka (4) dan Johor (1)," katanya.

Menurutnya, antara punca utama kesesakan tersebut adalah disebabkan tindakan segelintir individu bukan kategori dalam perkhidmatan penting keluar pada waktu puncak dengan alasan mahu membeli barang sekali gus menyebabkan pertambahan jumlah kenderaan ketika itu.

"Selain itu, kesesakan ini juga disebabkan pertambahan kenderaan dalam tambahan sektor perkhidmatan penting yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, saya menasihatkan kenderaan perdagangan supaya dapat mengubah waktu penghantaran pada waktu bukan puncak bagi mengelak kesesakan,” katanya.

Berikut lokasi hotspot kesesakan sekatan jalan raya:

Kuala Lumpur

1. Jalan Cheras hadapan Cheras Eko Mall

2. Jalan Travers menghala Bangsar

3. Lebuhraya Bukit Jalil menuju Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban

4. Jalan Loke Yew ke IPD Dang Wangi

5. Jalan Kuching ke susur Jalan Sultan Ismail

6. Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban menuju ke pusat bandar

Selangor

1. Jalan Sungai Buloh-Kepong (Seira Mas)

2. Laluan Sungai Ramal ke Putrajaya

3. Jalan hadapan IOI Mall Puchong

4. MRR2 dari Kepong ke Bulatan Batu Caves

5. Lebuhraya Persekutuan di Petaling Jaya berhampiran pintu gerbang

Melaka

1. Jalan Limbungan

2. Jalan Malim/Balai Panjang

3. Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ)/Semabuk

4. Jalan Batu Berendam

Johor

1. Jalan Pantai Lidor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!