Kes kemalangan turun 70 peratus ketika PKP

Azisman pada sidang media trend aliran trafik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
Azisman pada sidang media trend aliran trafik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah kemalangan mencatatkan penurunan hampir 70 peratus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dan dua dengan 10,382 kemalangan dicatatkan di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Azisman Alias berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 130 kemalangan maut membabitkan 145 kematian dicatatkan sejak 18 Mac sehingga 14 April lalu.

"Purata kemalangan bagi tempoh PKP fasa satu dan dua ini ialah sebanyak 370 kemalangan setiap hari.

"Trend ini mengalami penurunan hampir 70 peratus yang mana sebelum pelaksanaan PKP kita merekodkan sejumlah 1,500 kemalangan setiap hari dengan 16 hingga 17 maut dicatatkan," katanya pada sidang media trend aliran trafik sepanjang PKP di Bukit Aman di sini hari ini.

Azisman berkata, sejak pelaksanaan PKP, trend kemalangan maut mengalami penurunan di antara empat hingga lima kemalangan maut dicatatkan setiap hari.

"Kita mendapati sebanyak 80 peratus daripada jumlah kemalangan maut yang dicatatkan semasa PKP fasa satu dan dua ini melibatkan pengguna motosikal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!