Covid-19: Najib rayu majikan tidak sorok pekerja bergejala
SHAH ALAM - Majikan di semua sektor termasuk perniagaan kecil dan sederhana diminta berhubung dengan pihak berkuasa secara serta-merta sekiranya mengesan atau menerima maklumat terdapat pekerja mereka yang menunjukkan gejala koronavirus (Covid-19).
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau merayu agar majikan berbuat demikian dan tidak menghalang mana-mana pekerja sama ada yang mempunyai permit atau sebaliknya mendapatkan rawatan.
"Jangan main sorok-sorok. Jangan mementingkan duit dan melihat pada keuntungan sahaja.
"It's not worth it! Ini perkara yang melibatkan nyawa pekerja kamu, nyawa rakyat dan kepentingan seluruh negara kita.
"Melihat cabaran hebat yang sedang dihadapi negara jiran. Saya merayu sekali lagi kepada semua majikan-majikan dalam Malaysia, baik untuk perniagaan kecil, sederhana atau besar," katanya dalam status di Facebook hari ini.
Beliau berkata, majikan berkemungkinan bimbang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa jika didapati mengambil pekerja asing tanpa izin.
Menurutnya, beliau turut memahami kebimbangan majikan terhadap perniagaan mereka yang mungkin diarahkan untuk henti sementara bagi proses nyahkuman atau pekerja lain dikenakan arahan kuarantin 14 hari dan disaring.
"Tapi percayalah kamu bahawa kes penyakit Covid-19 ini tidak boleh disorok. Akhirnya akan beri kesan kepada perniagaan kamu juga.
"Percayalah bahawa hukuman ke atas kamu akan jauh lebih berat berbanding denda jika didapati mengambil pekerja asing tanpa izin.
"Percayalah bahawa hukuman dan publisiti negatif pada kamu akan berkali ganda jauh lagi besar berbanding kerugian yang akan dialami jika perniagaan dihentikan untuk seketika," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!