Kualiti udara, air sungai semakin bersih sepanjang PKP

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Kualiti udara dan air sungai sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa bermula18 Mac lalu terus menunjukkan corak peningkatan dan semakin bersih.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada keseluruhannya Indeks Pencemaran Udara (IPU) sebelum PKP fasa satu dan semasa PKP fasa kedua menunjukkan 14 peratus peningkatan bilangan hari yang mencatatkan IPU bersih di seluruh negara.

Menurutnya, analisis terhadap parameter pencemaran udara utama iaitu nitrogen dioksia (NO2), sulfur dioksida (SO2), karbon monoksida (CO) dan habuk halus bersaiz diameter bawah 2.5 mikron (PM2.5) yang dicerap di 65 stesen mencerap bahan cemar udara turut menunjukkan penurunan antara 26 peratus hingga 70 peratus.

"Bagi parameter kualiti air sungai untuk tempoh sama 18 Ogos 2019 hingga 17 Mac 2020 dan semasa PKP pada 18 Mac hingga 14 April di 29 stesen pengawasan kualiti air automatik, lapan stesen iaitu 28 peratus menunjukkan kualiti air sungai bertambah baik.

"Lapan stesen iaitu 28 peratus menunjukkan perubahan tidak ketara (Indeks Kualiti Air status kekal) dan 13 stesen iaitu 44 peratus menunjukkan sedikit penurunan kualiti air sungai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, Indeks Kualiti Air (IKA) sungai adalah berdasarkan pengiraan enam parameter utama iaitu oksigen terlarut (DO), keperluan oksigen biokimia (BOD), keperluan oksigen kimia (COD), ammoniakal-nitroger (NH3-N), jumlah pepejal terampai (TSS) dan pH.

Menurutnya, parameter penyumbang kepada peningkatan kualiti air sungai sepanjang tempoh PKP adalah seperti BOD (purata penurunan enam peratus), COD (penurunan lima peratus) dan TSS (penurunan satu peratus).

"Parameter menyumbang kepada penurunan kualiti air adalah DO yang mengalami penurunan purata sebanyak enam peratus manakala NH3-N tidak memberi kesan kepada perubahan kualiti air sungai dalam tempoh PKP.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kementerian mengambil maklum bahawa banyak laporan berasingan dilakukan pelbagai pihak telah menunjukkan peningkatan kualiti air sungai yang ketara khususnya di hulu atau luar lembangan sungai yang menempatkan 29 stesen pemantauan kualiti air sungai," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, IPU menunjukkan penurunan paras pencemaran udara disebabkan pengurangan aktiviti atau punca menyebabkan pelepasan bahan cemar udara seperti asap kenderaan bermotor, pelepasan asap cerobong industri dan aktiviti pembakaran terbuka.

Menurutnya, kualiti air sungai semakin meningkat menunjukkan pemberhentian operasi sementara kebanyakan aktiviti industri dalam kategori perkhidmatan bukan perlu dan kerja tanah projek pembangunan semasa tempoh PKP ini mempengaruhi kualiti air sungai di seluruh negara.

"Bagi memastikan alam sekitar terus lestari dan mencegah pencemaran udara, saya ingin mengingatkan semua pihak tidak melakukan pembakaran terbuka dan tidak mencemarkan sumber air.

"Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa sentiasa membuat pemantauan rapi terhadap punca-punca penghasilan kumbahan bukan najis (greywater) khususnya dari pasar basah dan premis penyedia makanan.

"Pemilik premis yang tidak bersambung dengan sistem pembetungan berpusat mesti mengosongkan tangki septik sekurang-kurangnya dua tahun sekali sebagaimana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!