Syarikat insurans kenderaan digesa beri diskaun khas
SHAH ALAM - Pas Selangor menggesa syarikat insurans dan takaful memberi diskaun khas untuk semua pembaharuan insurans atau takaful kenderaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan beban rakyat.
Pesuruhjayanya, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, diskaun khas yang dicadangkan sebanyak 15 peratus itu penting kerana majoriti kenderaan tidak berada di atas jalan raya sepanjang PKP yang kini memasuki fasa ketiga.
“Hampir 90 peratus (kenderaan) tidak bergerak di musim PKP ini dan keadaan ini secara langsung meminimumkan risiko kemalangan di jalan raya. Dengan anggaran bilangan kemalangan yang kecil, jumlah tuntutan akibat kemalangan kenderaan juga akan menjadi rendah.
“Ini menjadi satu kelebihan kepada syarikat insurans kerana perlindungan diberikan berisiko rendah tetapi pada masa yang sama kadar premium sumbangan kekal,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Katanya, semua bank juga memberi moratorium selama 6 bulan manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan diskaun tarif elektrik dan syarikat telekomunikasi memberikan data percuma.
“Bagaimanapun keterlibatan syarikat insurans atau takaful untuk membantu rakyat hampir dikatakan tiada.
"Sehubungan itu, Pas Selangor menggesa syarikat insurans atau takaful untuk membantu mengurangkan beban rakyat," katanya.
Katanya lagi, Pas Selangor turut bersedia membantu memberikan pandangan dari aspek teknikal pelaksanaannya melalui kepakaran Lajnah Pekerja dan Pengguna Pas Selangor.
“Kita harap diskaun itu dapat membantu majoriti rakyat untuk melalui saat-saat sukar bagi meneruskan kesinambungan hidup mereka secara lebih baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!