Wanita maut dibaham buaya
JAKARTA - INDONESIA. Seorang wanita di Indonesia dibaham buaya peliharaan di Pulau Sulawesi, menurut pihak berkuasa pada Rabu.
Ketua Makmal di ladang mutiara di Minahasa di Sulawesi Utara itu maut selepas diserang reptilia berukuran 4.4 meter itu pada Khamis lalu.
Jurucakap agensi pemuliharaan tempatan, Hendrik Rundengan berkata, mayat wanita berusia 44 tahun itu ditemui rakan sekerjanya sehari selepas kejadian tersebut.
"Petunjuk yang kami peroleh menunjukkan mangsa terjatuh ke dalam kurungan buaya tersebut. Buaya digelar Merry itu telah membahan tangan mangsa dan sebahagian perutnya. Kejadian itu masih disiasat polis," ujarnya.
Difahamkan, reptilia gergasi itu telah diberi ubat pelali dan dipindahkan dari kandangnya pada Isnin lalu dalam operasi yang mengambil masa tiga jam melibatkan puluhan orang termasuk pegawai pemuliharaan, tentera dan polis. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!