Lapan individu ingkar PKP didakwa
GURUN- Tujuh individu didakwa di Mahkamah Majistret Gurun, hari ini berhubung pertuduhan ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mereka berusia dari 22 hingga 27 tahun itu bersama dua lagi pesalah muda didakwa telah berkumpul dalam satu premis di kawasan jangkitan, di ruang tamu dalam satu premis dekat Kampung Belakang Masjid, Guar Chempedak lebih kurang jam 10 malam, pada Rabu lalu.
Kesalahan di bawah Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan boleh dihukum bawah Peraturan 11(1) Peraturan yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Empat daripadanya dikenakan denda RM1,000 selepas masing-masing mengaku salah terhadap pertuduhan dan membayar denda itu kecuali seorang tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara selama 14 hari kerana gagal membayar denda itu.
Majistret, Nurul Rasyidah Mohd Akit kemudian menetapkan tarikh sebutan kes pada 18 Mei 2020 sementara menunggu laporan sosial bagi dua pesalah muda tersebut.
Sementara itu, seorang lelaki turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan berhubung melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana didapati bergerak ke kawasan tempat jangkitan dan turut dikenakan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Bagaimanapun lelaki itu didakwa pula mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 akibat penemuan 0.15 gram heroin dalam kawalannya dekat Jalan Ban tepi sungai Taman Awana, Yan, lebih kurang jam 8 malam 11 April lalu.
Bagi kes itu, sebutan ditetapkan pada 29 Jun depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nurul Waheda Abd Rahman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!