Ingkar PKP sebab merajuk dengan isteri
KUALA TERENGGANU - Gara-gara keluar rumah pada waktu malam kerana merajuk dengan isteri, seorang lelaki didenda RM1,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh, Wardi Zaidi, 36, merupakan antara 10 tertuduh yang berusia 20 hingga 61 tahun yang dikenakan hukuman denda oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kesemua tertuduh juga berdepan dengan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada 16 hingga 18 April lalu, antara jam 10 malam hingga jam 12.15 tengah malam.
Oleh itu, mereka telah melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakilkan Mazlan Md Zein.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!