Polis berjaya kesan wanita dakwa guna 'kabel' KPN
KUANTAN - Polis berjaya mengesan seorang wanita yang mendakwa dirinya menggunakan 'kabel' Ketua Polis Negara (KPN) untuk mendapatkan kebenaran pulang ke Kuantan yang tular di laman sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, wanita berusia 30an dan bekerja di Kuala Lumpur itu juga telah diambil rakaman percakapannya oleh Jabatan Siasatan Jenayah Pahang semalam.
"Wanita itu mendakwa dirinya tidak berniat untuk menggunakan nama KPN, namun berbuat demikian kerana amat tertekan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga mengada-adakan cerita.
"Kita juga sedang menyiasat bagaimana dia boleh terlepas pulang ke rumah orang tuanya di sini pada 12 April lalu tanpa alasan kukuh bagi melakukan pergerakan dalam tempoh PKP," katanya semasa dihubungi Bernama di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada keistimewaan pihak tertentu dapatkan pengecualian PKP
Semalam, Abdul Hamid menegaskan bahawa beliau tidak pernah dihubungi atau memberikan keistimewaan kepada mana-mana individu untuk melakukan perjalanan tidak wajar sepanjang pelaksanaan PKP. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!