Covid-19: Harga minyak dijangka kekal lemah

Untuk minggu yang baru berakhir, minyak mentah West Texas Intermediate bagi pembekalan Mei susut 8.1 peratus, untuk ditutup pada AS$18.27 setong di Bursa Merkantil New York.
Untuk minggu yang baru berakhir, minyak mentah West Texas Intermediate bagi pembekalan Mei susut 8.1 peratus, untuk ditutup pada AS$18.27 setong di Bursa Merkantil New York.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Peserta pasaran tidak yakin bahawa pemotongan pengeluaran minyak seperti yang dijanjikan oleh pengeluar utama akan menyelesaikan masalah lebihan bekalan.

Untuk minggu yang baru berakhir, minyak mentah West Texas Intermediate bagi pembekalan Mei susut 8.1 peratus, untuk ditutup pada AS$18.27 setong di Bursa Merkantil New York.

Sebaliknya, penanda aras global, minyak mentah Brent untuk penghantaran Jun menokok 0.9 peratus daripada Khamis lepas kepada AS$28.08 setong pada hari Jumaat selepas jatuh 10.8 peratus pada minggu berkenaan.

Pakar-pakar ekonomi sendiri berasa skeptikal mengenai bagaimana keberkesanan potongan ini boleh membantu meningkatkan harga minyak yang telah terjejas akibat wabak koronavirus (Covid-19), ada yang meramalkan harga akan terus lemah untuk satu tempoh yang panjang di bawah AS$40 setong.

Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata, faktor terbesar yang memberi kesan ke atas pasaran minyak bagi 2020 adalah Covid-19 selepas usaha untuk mengekang penyebarannya menyebabkan aktiviti ekonomi dunia terganggu, mengakibatkan permintaan minyak jatuh teruk.

“Tempoh wabak akan mempunyai implikasi yang besar ke atas tahap penggunaan global, dan ketidakpastian dalam permintaan ini akan terus menyeret harga minyak,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata output akan terus kekal melebihi tahap permintaan walaupun perang harga di antara Arab Saudi dan Rusia akan berakhir jika pengurangan pengeluaran ini secara rasminya, dimulakan pada bulan depan.

Malahan, COVID-19 dijangka akan terus menghakis permintaan global dengan anggaran 20 juta hingga 30 juta tong sehari (bbl) sekurang-kurangnya untuk bulan ini, dan trajektorinya akan bergantung kepada kepantasan ekonomi utama untuk pulih.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, Tan menjangkakan niaga hadapan Brent akan kekal terbenam di bawah wilayah US$40 setong, walaupun selepas pemotongan bekalan dimulakan, disebabkan keadaan yang masih tidak menentu terus menguasai naratif ke atas sentimen pasaran.

“Kenaikan dalam harga minyak hanya boleh berlaku selepas adanya tanda-tanda kestabilan dalam angka wabak COVID-19 dan pembukaan semula sekatan oleh ekonomi utama,” katanya.

Beliau juga membayangkan jika wabak Covid-19 kembali menjadi ancaman dan ekonomi utama terpaksa mengetatkan semula langkah sekatan, harga minyak Brent boleh menjunam ke tahap terendah dalam 18 tahun, ini yang menyebabkan banyak pelabur mempertikaikan keberkesanan langkah pemotongan bekalan oleh OPEC+.

Ahad lepas, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar lain termasuk Rusia, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai OPEC+ bersetuju mengurangkan pengeluaran sebanyak 15 juta tong sehari untuk April.

Pertubuhan ini kemudian, akan melaksanakan pemotongan antara 10 juta bbl dan 12 juta bbl bagi Mei dan Jun, sebelum dikurangkan kepada 8 juta bbl dari Julai hingga akhir 2020.

Penurunan yang dirancang ini, seterusnya, akan dikekalkan kepada enam juta bbl mulai Januari 2021 hingga April 2021.

“Akhirnya mereka bersatu dalam tindakan tetapi mungkin terlalu lambat. Pemotongan bekalan belum mencukupi bagi mengimbangi kerugian yang teruk dalam penggunaan,” menurut Ahli Ekonomi OCBC Bank, Howie Lee.

Bagaimanapun, beliau berkata harga mungkin lebih tinggi walaupun dengan ketidakseimbangan bekalan yang sama jika OPEC+ berganding bahu sebelum ini, dan mengelakkan perang harga.

“Selepas menyaksikan pasaran melalui fasa tidak seimbang seperti ini, sudah pasti sukar untuk peniaga fizikal kembali berprestasi, memandangkan apa yang mereka terpaksa lalui pada bulan sebelumnya,” kata beliau sambil menambah harga minyak di bawah AS$40 setong masih lagi tinggi dalam keadaan ekonomi dunia yang agak lembap sekarang ini.

Lee juga percaya bahawa pemulihan ke atas AS$50 bbl memerlukan dunia merekodkan pemulihan dalam kes-kes Covid-19, keadaan yang masih sukar untuk dibayangkan.-Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!