Saya sanggup dijel jika ia satu kesalahan: Ahmad Said
KEMAMAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said sedia dikenakan tindakan ekoran tular gambarnya bertemu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di kediamannya di Telok Kalong di sini yang dikatakan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, beliau meminta supaya tindakan itu hanya dikenakan ke atasnya bukan melibatkan individu lain yang bersamanya ketika itu.
"Saya sanggup masuk jel, kalau itu menjadi satu kesalahan yang tidak boleh ditoleransi dan merupakan satu kesalahan besar.
"Tetapi saya mohon supaya jangan ambil tindakan ke atas anak-anak buah saya yang sedang bekerja untuk mengagihkan barangan keperluan harian kepada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal ketika ini," katanya.
Beliau berkata, pertemuan bersama Menteri Besar Terengganu itu berlaku secara tidak dirancang.
"Sebelum pertemuan itu saya bersama sukarelawan DUN Kijal bergotong-royong menyiapkan barangan yang akan diagihkan kepada penduduk di kawasan ini.
"Secara kebetulan ketika itu Menteri Besar (Ahmad Samsuri) dalam perjalanan ke Terengganu dan sedang berada di Karak.
"Memandangkan dalam perjalanan sehala, beliau ingin singgah di rumah saya untuk berbincang beberapa perkara melibatkan urusan rakyat yang perlu diselesaikan," katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata, ketibaan Menteri Besar Terengganu menarik perhatian kumpulan sukarelawan yang ketika itu berada di kediamannya.
"Mungkin disebabkan teruja, secara tak sedar semua yang ada di situ ingin merakam gambar sampai terlupa jarak sosial yang perlu dijaga dan tempoh penguatkuasaan PKP yang sedang berlangsung," katanya.
Dalam pada itu, katanya, seramai 20 sukarelawan kini bekerja bersamanya sejak 15 hari lalu untuk membantu mengagihkan barangan keperluan harian kepada kira-kira 10,000 penduduk di DUN itu.
"Bantuan ini perlu disalurkan segera kalau boleh sebelum puasa ini saya mahu pastikan semua penduduk memperolehnya sebab itulah kita bekerja siang dan malam.
"Aktiviti agihan bantuan dan untuk mendapatkan bekalan ini bukan dibuat secara suka-suka. Ia telah mendapat kebenaran dan dipantau," katanya.
Beliau berkata, setakat ini seramai 6,391 keluarga di DUN itu telah menerima bantuan keperluan ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
"Setakat ini kita telah menerima sebanyak lapan tan kampit beras lima kilogram, 11 tan gula dan 10 tan tepung gandum. Masih ada pertambahan bekalan barangan lagi.
"Kita masih berusaha untuk mengagihkan bantuan yang berbaki lagi kepada kira-kira 4,000 keluarga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!