Lelaki didakwa ugut bunuh adik sendiri

Mohd Khairul Aizat didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mengugut mahu membunuh adiknya sendiri.
Mohd Khairul Aizat didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mengugut mahu membunuh adiknya sendiri.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut mahu membunuh adiknya sendiri.

Tertuduh, Mohd Khairul Aizat Alias, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu membunuh Ikhwanuddin Alias, 26, di sebuah rumah di daerah ini kira-kira jam 2.45 petang pada 21 Februari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan

Noor Mazrinie kemudian menetapkan 14 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!