Covid-19: Rakyat perlu kreatif hadapi Ramadan, Syawal

No Image Caption
A
A
A

PELANJUTAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan rata-rata masyarakat di Malaysia menzahirkan rasa kebimbangan tidak dapat melakukan tradisi sambutan Ramadan dan Syawal seperti kebiasaannya.

Secara lazimnya, kemeriahan Ramadan disambut dengan melakukan solat tarawih berjemaah di surau-surau dan masjid serta suasana jual beli yang meriah di bazar-bazar ramadhan, di mana bagi segolongan kelompok masyarakat ianya adalah peluang bagi mereka untuk menjana sumber pendapatan.

Manakala sambutan Hari Raya Aidilfitri pula dimeriahkan dengan amalan ziarah menziarahi dalam kalangan sanak saudara serta rakan taulan serta pemberian wang raya.

Namun Ramadan yang bakal disambut pada 24 April ini serta Syawal yang akan menyusul disambut di luar kebiasaan dan memberikan pengalaman baru bagi seluruh umat Islam di Malaysia. Anak-kanak kecil serta ibu bapa di kampung adalah lebih terkesan.

Kepulangan anak-anak, cucu dan cicit di pagi raya serta keseronokan anak-anak kecil mengira duit raya berkemungkinan tidak dapat dirasai pada tahun ini.

Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia harus lebih kreatif dalam situasi yang mencabar ini agar sambutan Ramahan dan Syawal masih boleh disambut dengan meriah dalam keadaan serba terbatas.

Bagi segelintir masyarakat, terdapat hikmah di sebalik penguatkuasaan PKP ini.

Antaranya, rakyat Malaysia tidak perlu bersesak-sesak untuk pulang ke kampung yang mungkin mengambil masa berjam-jam.

Artikel Berkaitan:

Ada juga yang berpendapat, perubahan ini merupakan peluang bagi mereka untuk berjimat cermat dan meluangkan lebih masa dengan ahli keluarga.

Di samping itu, amalan tradisi membuat kuih raya sendiri di rumah boleh dilakukan semula bersama anak-anak dan solat tarawih pula boleh dilakukan di rumah secara berjemaah dengan ahli keluarga.

Berbincang tentang sambutan Aidilfitri pula, ramai yang berpendapat rakyat boleh memanfaatkan penggunaan komunikasi secara maya seperti zoom, webex dan Microsoft team di pagi raya bersama ahli keluarga dan rakan-rakan dengan berpakaian baju raya, mengambil gambar raya bersama ahli keluarga dan berkongsi menu pagi raya di media sosial.

Manakala, solat dan khutbah raya serta laungan takbir boleh dilakukan oleh imam dan bilal di surau dan masjid dengan menggunakan pembesar suara agar boleh didengar oleh mereka yang berada di rumah.

Bagi mereka yang pernah menuntut di luar negara, komunikasi secara maya ini bukanlah sesuatu yang baru dan kerap dilakukan pada setiap kali menyambut Aidilfitri di perantauan.

Sekurang-kurangnya ia dapat meringankan rasa rindu dan sebak kerana tidak dapat berjumpa seperti kebiasaannya.

Di saat ini persatuan penduduk, Ketua Kampung atau Pengerusi JMB harus memainkan peranan mereka di kawasan residensi untuk menggerakkan penduduk setempat agar sama-sama memeriahkan suasana Syawal dengan melakukan aktiviti bertukar-tukar juadah di pagi raya.

Semasa ini, jiran-jiran terdekat adalah saudara-mara kita kerana masing-masing terpaksa berpisah sementara dengan saudara-mara di kampung halaman.

Pada masa yang sama, pencegahan terhadap penyakit koronavirus (Covid-19) seperti penjarakkan sosial dan kerap membasuh tangan dengan sabun perlu dilakukan secara berterusan kerana ianya telah menjadi amalan biasa bagi kita selama beberapa bulan ini.

Terdapat juga individu yang menyarankan amalan pemberian duit raya dilakukan melalui transaksi secara online atau memansuhkan terus pemberian duit raya memandangkan ramai yang terkesan dengan PKP yang telah dikuatkuasakan semenjak 18 Mac yang lalu.

Ibu bapa juga hendaklah lebih kreatif dalam merancang aktiviti bersama anak-anak agar mereka tidak merasa bosan dan tertekan kerana tidak dapat mengamalkan sambutan hari raya yang kebiasaannya dimeriahkan dengan aktiviti pemberian duit raya dan ziarah menziarahi terutamanya pada hari raya pertama.

Pihak media juga seharusnya juga lebih kreatif dalam menyiarkan rancangan hari raya yang boleh menarik minat masyarakat dari pelbagai peringkat umur agar Syawal masih dapat disambut dalam keadaan yang sederhana tetapi meriah.

Tidak dinafikan juga, terdapat kemungkinan berlakunya peningkatan kepada permasalahan emosi dalam golongan-golongan yang rentan seperti warga emas yang tinggal bersendirian serta mereka yang mempunyai kekangan sumber pendapatan.

Justeru, pihak berwajib dengan bantuan badan-badan bukan kerajaan hendaklah bijak memainkan peranan sepanjang tempoh yang mencabar dan sukar ini.

Sokongan sosial berbentuk bantuan kewangan mahupun sokongan emosi secara berkala sepanjang bulan Ramadan serta sebaik sebelum sambutan Aidilfitri sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban dan tekanan fizikal mahupun kesejahteraan mental golongan yang terkesan ini.

Apa yang lebih penting adalah keselamatan dan kesihatan masyarakat lebih terjamin seterusnya dapat meringankan beban kerja kakitangan hadapan yang berjuang tanpa mengira masa dan tenaga menangani wabak yang boleh membawa maut ini.

Walaupun sukar, setiap dari kita harus belajar dan cuba untuk membiasakan diri dengan norma kehidupan yang baru yang bukan biasa-biasa.

Kita perlu bersedia secara fizikal dan mental sekiranya PKP ini berlanjutan untuk satu tempoh masa yang tidak pasti.

Tahap pemikiran, tingkah-laku serta amalan kita selepas ini bukan di takuk lama lagi, tetapi ke arah pembentukan jiwa yang berdaya tahan dalam menghadapi sebarang situasi.

Inilah salah satu daripada hikmah ALLAH yang tersurat agar hamba-hamba-NYA mendapat keredhaan Illahi.

*Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan Keluarga) dan Prof Madya Dr Hayati Kadir @ Shahar adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi Dan Biostatistik) dari Jabatan Kesihatan Komuniti, FPSK, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!