Malaysia berhak utamakan keselamatan

Bot membawa 200 PATI Rohingya yang cuba menceroboh perairan negara berdekatan Pulau Langkawi baru-baru ini.
Bot membawa 200 PATI Rohingya yang cuba menceroboh perairan negara berdekatan Pulau Langkawi baru-baru ini.
A
A
A

KRISIS pelarian Rohingya telah menjadi konflik dunia sejak berdekad lamanya. Malaysia sendiri mula menerima kedatangan pelarian Rohingya sejak 1970-an, malah kini kebanyakannya menetap dan membina komuniti sendiri di Ampang, Gombak dan Hulu Langat di Selangor.

Rekod Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada tahun 2009 menyaksikan seramai 15,000 orang Rohingya berdaftar di Malaysia.

Bagaimanapun, ketegangan yang makin memuncak di Rakhine, Myanmar menyebabkan kedatangan pelarian Rohingya bagaikan tidak dapat disekat-sekat lagi sejak sedekad lalu. Percaya atau tidak, jumlah pelarian Rohingya yang kini berdaftar di bawah UNHCR di Malaysia sudah melebihi 150,000 orang.

Dipercayai angka tersebut sebenarnya lebih tinggi memandangkan beribu-ribu pelarian lain dipercayai tidak mendaftarkan diri di bawah organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Namun, sejak beberapa hari lalu tiba-tiba isu pelarian Rohingya kembali meniti bibir ramai pihak.

Malaysia terpaksa mengambil keputusan paling berat dengan mengarahkan bot-bot pelarian berpatah balik selepas negara menutup pintu masuk perairan dalam usaha membendung penularan Covid-19. Namun langkah tersebut dikritik hebat oleh sesetengah pihak lain.

Ada yang merujuk tindakan itu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, malah ada pula yang menggelar Malaysia sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Ternyata garisan yang memisahkan antara keselamatan dan kemanusiaan sangat halus, sehinggakan satu langkah 'kiri' Malaysia seolah-olah telah memusnahkan 1,000 kebaikan yang telah ditunaikan sebelum ini dalam menyelamatkan etnik Rohingya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Pensyarah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, pelarian dapat dikategorikan kepada dua iaitu pelarian yang mencari suaka perlindungan politik dan pelarian ekonomi.

Jumlah pelarian
Jumlah pelarian

Dalam kes Malaysia, katanya, Putrajaya sendiri sememangnya tidak pernah menandatangani Konvensyen Pelarian PBB 1951 atau susulannya, Protokol 1967.

Langkah itu menyebabkan Malaysia tidak terikat dengan apa-apa konvensyen dan pelarian. Di Malaysia, secara dasarnya mereka dianggap sebagai pendatang tanpa izin atau penjenayah domestik.

Pintu sempadanNamun, sebagai sebuah negara yang berperikemanusiaan, Malaysia sejak berdekad lalu telah menerima ratusan ribu pelarian dengan data UNHCR setakat Oktober 2019 mendedahkan kini terdapat 177,806 pelarian di Malaysia.

Dr Mohd Azizuddin berkata, keputusan menerima atau menolak pelarian akhirnya adalah hak mutlak sesebuah negara, tidak terkecuali Malaysia.

“Saya rasa, apabila Malaysia menutup pintu sempadan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan membendung Covid-19, ia adalah hak negara ini.

“Kita menutup sempadan atas faktor kesihatan kerana tidak mahu satu kumpulan orang asing datang memasuki negara ketika Malaysia sendiri sedang bergelut melawan wabak penyakit maut.

“Dalam situasi ketika ini, Malaysia tidak boleh mengambil risiko. Katakan pelarian yang datang ada penyakit, kita terpaksa mengambil langkah kuarantin, mencari tempat jaga mereka dan sebagainya.

“Apabila ada laporan pelarian mati di atas bot, itu adalah risiko yang diambil sendiri oleh pelarian tersebut sewaktu mereka mengambil keputusan belayar. Adalah tidak adil meletakkan kesalahan itu ke atas pihak Malaysia.

“Dalam keadaan sekarang, kita hanya terima rakyat Malaysia yang mahu pulang dari luar, bukan pelancong dan bukan juga pendatang asing atau pelarian,” kata Mohd Azizuddin kepada Sinar Harian semalam.

Jelas beliau, adalah tidak wajar apabila ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melemparkan kritikan keras terhadap tindakan Malaysia menutup pintu sempadan perairan memandangkan dalam konteks pada masa ini, survival nasional adalah lebih penting dan harus diutamakan.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai permasalahan di Rakhine, katanya, etnik Rohingya menjadi bangsa tanpa negara apabila kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara walaupun Rohingya telah mendiami Rakhine (dulu dikenali sebagai Arakan) sejak ratusan tahun. Konflik tersebut tidak dapat dinafikan turut berpunca daripada persempadanan negara yang dibuat oleh penjajah British antara India, Bangladesh dan Myanmar.

Dalam pada itu, bagi penganalisis pertahanan dan perunding keselamatan, Muhammad Fuad Mat Noor, kalau dilihat dari segi sejarah, Malaysia memang sejak sekian lama sedaya upaya cuba memberi perlindungan kepada mangsa perang atau pelarian seperti dari Palestin, Bosnia, Syria dan Rohingya.

Pulau transitBagaimanapun, Muhammad Fuad menegaskan, Malaysia tetap mempunyai kemampuan yang terhad dan tidak boleh menyelesaikan permasalahan Rohingya sendirian.

“Membantu rakyat negara lain memang langkah terpuji, tetapi Malaysia tidak boleh jadi penyelamat dunia. Kalau hendak selamatkan, kita kena selamatkan rakyat Malaysia dulu. Adalah tidak adil kalau ada NGO kata Malaysia tidak berperikemanusiaan sedangkan kita sendiri berhadapan dengan rakyat yang sedang berlapar ketika wabak ini,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Fuad mencadangkan agar pihak kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) merangka pelan jangka panjang dalam menangani krisis pelarian tersebut.

Beliau berkata, MKN sepatutnya mencari lokasi tertentu seperti sebuah pulau di mana-mana perairan negara untuk dijadikan lokasi transit pelarian seperti mana yang pernah dilakukan pada tahun 1970-an apabila ribuan pelarian Vietnam ditempat di Pulau Bidong, Terengganu.

“MKN sepatutnya sudah ada perisikan mengenai pelarian yang akan datang ke Malaysia. MKN seharusnya sudah boleh jangka dan ia akan berterusan tidak kira waktu ada wabak atau tidak.

“MKN mungkin wajar fikirkan kalau ada satu tempat atau pulau-pulau kosong seperti yang kita pernah buat di Pulau Bidong, jadi pelarian tidak perlu mendarat di tanah besar.

“Patutnya kita buat inisiatif pulau khas ini sejak dulu lagi, jadi tidaklah beratus ribu pelarian datang masuk ke Malaysia dan bila ada kes kita halau, ia burukkan pula imej kita di mata antarabangsa,” katanya.

Jumlah pelarian di Malaysia (setakat 19 Oktober 2019)Negara JumlahMyanmar 153,209

Pakistan 6,609

Uzbekistan 3,603

Somalia 3,244

Syria 3,216

Afghanistan 2,465

Sri Lanka 1,882

Iraq 1,340

Lain-lain 2,238

Jumlah

keseluruhan 177,806

* Sumber UNHCR

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!