Pengarah syarikat ingkar PKP dipenjara tujuh hari
SUNGAI PETANI - Seorang pengarah syarikat antara 24 individu yang didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas kesalahan ingar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tertuduh, Ong Lin T Jong, 39, mengaku bersalah mengarahkan dua pekerjanya menjalankan operasi tanpa kebenaran pada 4 April lalu kira-kira jam 11.50 malam di kawasan perusahaan Bakar Arang.
Mengikut pertuduhan, majikan sebuah kilang kitar semula itu telah membenarkan Muhamad Hanif Ishak, 24, dan Mohamad Izral Taib, 45, berhimpun dalam kawasan tersebut yang juga tempat berjangkitan bagi tujuan sosial.
Tertuduh telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988(Akta 342) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama iaitu penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nurul Husnah Omar di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh hari dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.
Selain itu, seramai 23 individu berusia di antara 18 hingga 41 tahun dihukum penjara tujuh hari dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar selepas mengaku salah ingkar arahan PKP.
Kesemua mereka didakwa melakukan itu di sekitar daerah Kuala Muda antara 27 Mac hingga 11 April 2020.
Kesemua mereka didakwa mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!