PM, Menteri Kewangan dilantik ahli Lembaga Pemegang Amanah YPB
KUALA LUMPUR - Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) hari ini mengumumkan pelantikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Timbalan Pengerusi menyertai Lembaga Pemegang Amanahnya yang dianggotai empat ahli berkuat kuasa 14 April 2020.
Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun tiada sebarang perubahan bagi dua ahli Lembaga Pemegang Amanah YPB sedia ada iaitu Tan Sri Dr Zeti Aziz dan Tan Sri Setia Haji Ambrin Buang.
“Lembaga Pemegang Amanah YPB dan Lembaga Pengarah PNB mengalu-alukan pelantikan baharu barisan Lembaga Pemegang Amanah YPB dan akan bekerjasama rapat dengan kepimpinan serta bimbingan mereka bagi membawa PNB ke tahap seterusnya dalam usaha untuk menjadi sebuah firma pelaburan distinktif bertaraf dunia yang terus gigih menghasilkan pulangan mampan untuk 14 juta pemegang unitnya,” kata PNB.
Lembaga Pemegang Amanah YPB dan Lembaga Pengarah PNB turut merakamkan penghargaan kepada mantan Pengerusi YPB, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mantan Pengerusi Alternatif, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas bimbingan dan sumbangan mereka sepanjang tempoh kepimpinan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!