Jangan buat tanggapan sendiri!

Sekatan jalan raya akan terus dilaksanakan sepanjang PKP ini. Gambar kecil: Soffian
Sekatan jalan raya akan terus dilaksanakan sepanjang PKP ini. Gambar kecil: Soffian
A
A
A

GEORGETOWN - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat tanggapan sendiri terhadap pengumuman bahawa semua daerah di Pulau Pinang akan diisytihar sebagai zon hijau pada 27 April ini sekiranya tiada pertambahan kes wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, walaupun Pulau Pinang dijangka akan diisytihar zon hijau, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berjalan dan semua pihak perlu mematuhinya.

"Jangan buat pemahaman dan tanggapan sendiri. Sebarang pengumuman, kena faham betul-betul. Keadaan masih belum pulih dan PKP masih dilaksanakan. Semua orang perlu mematuhinya.

"Jangan keluar rumah tanpa alasan munasabah dan sentiasa menjaga penjarakan sosial. Walaupun tiada kes baharu, kita masih belum bebas. Selagi tiada pengumuman rasmi dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), maka semua pihak perlu mengikut PKP," katanya kepada media ketika ditemui di sekatan jalan raya Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Soffian berkata, peratusan pematuhan fasa ketiga PKP di daerah Timur Laut meningkat apabila orang ramai sudah memahami pelaksanaan perintah tersebut.

"Jika dari fasa pertama, hari ini sudah 35 hari PKP dilaksanakan. Orang ramai sudah memahami PKP dan semua kawasan tumpuan di pasar awam juga didapati mematuhi PKP. Namun masih ada segelintir yang ingkar. Masih ada yang beri alasan tidak munasabah, namun peratusan amat kurang.

"Tindakan tegas iaitu menahan mereka yang memberi alasan tidak munasabah dilihat salah satu faktor. Saya mohon semua orang memahami peranan masing-masing sepanjang PKP ini," katanya.

Beliau turut menasihati orang awam yang hendak ke Bayan Baru dan Bayan Lepas dari pusat bandar agar menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

Artikel Berkaitan:

"Kepada mereka yang hendak ke tempat kerja yang terletak di Bayan Baru dan Bayan Lepas boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Green Lane dan Gelugor bagi mengelakkan mereka terkandas di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

"Mengenai rungutan pengguna jalan raya yang tersekat dalam kesesakan. Kita hanya menjalankan tugas. Kita sudah berusaha untuk mempercepatkan pemeriksaan dan berharap semua pihak faham," katanya.

Tambahnya, seramai 1,068 anggota daerah Timur Laut terlibat dengan penugasan sepanjang pelaksanaan PKP ini.

"Kesesakan yang berlaku di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu adalah kerana banyak perkhidmatan yang mula beroperasi semula. Maknanya, semua kenderaan ini mempunyai alasan untuk ke tempat kerja, bukannya mereka yang keluar rumah tanpa alasan munasabah.

"Dakwaan kononnya kesesakan lalu lintas ini disebabkan oleh mereka yang melanggar PKP adalah tidak benar. Polis bertugas di SJR kini semakin tegas yang mana, alasan tidak kukuh, tidak akan dilepaskan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!