Mangsa kebakaran bersyukur dapat perhatian PM
PONTIAN - Mangsa kebakaran di Jalan Terminal Bas Lama di sini kelmarin bersyukur apabila beban penderitaan mereka mendapat perhatian Perdana Menteri hari ini.
Salah seorang mangsa, Rosli Abdullah, 45, ketika ditemui di sini mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang prihatin terhadap bencana yang menimpanya selain turut menyalurkan sumbangan yang disampaikan menerusi Setiausaha Politiknya, Abu Bakar Yahya.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana prihatin dengan beban yang kami hadapi ini. Walapun rumah itu hanya persinggahan saya dan rakan-rakan sebelum turun ke laut, tetapi barangan kami yang ditempatkan dalam rumah itu seperi pakaian, peralatan musnah.
"Dengan sumbangan yang diterima ini, sekurang-kurangnya dapat ringankan sedikit beban kami yang bekerja sebagai nelayan," katanya.
Pada masa sama, Rosli dan rakannya, Hussin Ahmad, 54, turut menerima bantuan berupa barangan keperluan asas yang disumbangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik.
Sementara itu, Abu Bakar menyifatkan sumbangan yang disalurkan kepada mangsa itu merupakan bantuan awal kepada para mangsa.
Bagaimanapun, beliau berharap bantuan kebajikan kepada rakyat yang memerlukan pada kadar segera dapat diambil serius oleh kepimpinan serta agensi lain yang bertanggungjawab pada masa depan.
Kejadian kebakaran itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 8.15 malam pada 14 Januari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!