Asalkan ada nasi!

Hopijah Ripi
Hopijah Ripi
A
A
A

TEMERLOH - "Tiada lauk dan hanya makan nasi berulamkan sayur dan sambal cili tidak mengapa asalkan ada nasi, itu lebih kenyang", kata seorang pembantu kedai yang juga warga Indonesia, Hopijah Ripi, 53, yang terjejas selepas tidak dapat bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hopijah berkata, dia bersyukur walaupun terpaksa makan nasi tiada lauk kerana sedar masih ramai lagi orang lebih susah daripadanya.

"Dengan menggunakan duit simpanan yang ada, isi perut janji kenyang sudah cukup buat saya walaupun terpaksa makan nasi berulamkan sayur dan sambal cili," katanya.

Kesusahan Hopijah yang tinggal menyewa bilik di rumah kedai bersama saudaranya mendapat perhatian pasukan task force Masjid Temerloh Jaya yang memberikan sumbangan barangan keperluan semalam.

Selepas menerima bantuan tersebut, tindakan Hopijah yang berdoa menyentuh hati para petugas terlibat.

Hopijah memberitahu, ia tindakan spontan dan menganggap sumbangan yang diberikan rezeki buat dirinya.

"Biasalah orang bantu kita, doakan mereka yang membantu murah rezeki, selain tanda syukur atas bantuan diberikan. Terharu walaupun saya bukan rakyat negara ini," katanya yang kematian suami sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Unit Publisiti dan Komunikasi Korporat Masjid Temerloh Jaya, Saiful Afendi Ismail berkata, petugas yang terlibat termasuk beliau tersentuh dengan tindakan pembantu kedai ketika ingin pulang selepas menyerahkan sumbangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Ini antara momen yang menyentuh hati kami semua sepanjang mengagihkan bantuan kepada orang ramai sepanjang tempoh PKP," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!