Nakhoda kapal hanyut 18 jam di laut diselamatkan APMM

Mangsa ditemui selamat lebih kurang 12.8 batu nautika barat daya dari Pulau Panjang, Melaka kira-kira jam 5.45 petang semalam.
Mangsa ditemui selamat lebih kurang 12.8 batu nautika barat daya dari Pulau Panjang, Melaka kira-kira jam 5.45 petang semalam.
A
A
A

ALOR GAJAH – Seorang nakhoda kapal dagang warga Indonesia yang hanyut hampir 18 jam di laut telah diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan, petang semalam.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, nakhoda dikenali sebagai Gunawan, 42, itu diselamatkan pada kedudukan lebih kurang 12.8 batu nautika barat daya dari Pulau Panjang, Melaka kira-kira jam 5.45 petang selepas dipercayai terjatuh pada 10 malam, Sabtu lalu.

"Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) digerakkan sebaik sahaja menerima aduan daripada ejen kapal yang memaklumkan seorang nakhoda kapal MV Habour Naptune hilang dalam pelayaran dari Pelabuhan Pasir Gudang ke Pelabuhan Klang.

"Kehilangan mangsa hanya disedari sekitar jam 3 pagi keesokan hari, apabila kru mendapati mangsa tiada di biliknya semasa kapal hendak berlabuh di perairan Pintu Gedung, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

"Bagaimanapun bot ronda pengawal APMM terlibat dalam Op Carilamat, bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mangsa ditemui oleh sebuah kapal dagang yang melalui kawasan berkenaan. Mangsa yang memakai jaket keselamatan ditemui sedang hanyut dan terapung di tengah laut, sebelum dia dibawa ke Jeti Maritim Kuala Linggi bagi mendapatkan rawatan serta untuk siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, petugas kesihatan telah membuat pemeriksaan dan mangsa dilaporkan tiada mengalami kecederaan selain tidak menunjukkan simptom berhubung jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Tambah Haris Fadzillah, mangsa dilaporkan tidak memiliki sejarah perjalanan ke luar negara manakala kapal dagang itu juga hanya berlayar di perairan Malaysia selain semua kru tidak turun ke darat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Menurutnya, namun ejen kapal memaklumkan, mangsa tetap akan menjalani kuarantin bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan Covid-19, pada masa sama semua kru kapal didapati bebas jangkitan itu.

"APMM Melaka dan Negeri Sembilan sedang menyiasat punca nakhoda kapal itu jatuh ke laut sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dan kes diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Haris Fadzillah berkata, sepanjang tempoh PKP bagi memutuskan rantaian Covid-19 ini, APMM meningkatkan operasi penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!