Covid-19: Dua platform tangani kesihatan mental, emosi
JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil berat terhadap kesihatan mental dan emosi petugas kesihatan serta orang awam yang terkesan akibat pandemik koronavarus (Covid-19).
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, beberapa langkah diambil Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) Johor dengan menyediakan dua platform untuk membantu menangani emosi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Pasukan MHPSS Johor menyediakan satu talian khas Tele-Kaunseling Covid-19 menerusi nombor 07-2311027 yang dikendalikan Pegawai Psikologi dari JKNJ. Talian ini beroperasi dalam waktu pejabat iaitu Ahad hingga Rabu dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan Khamis (8 pagi hingga 3.30 petang).
"Ini adalah talian alternatif kepada talian Sokongan Psikososial Covid-19 yang disediakan Kementerian Kesihatan dengan Kerjasama Mercy Malaysia dan Talian Kasih yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu katanya, pasukan MHPSS Johor menyediakan pelbagai bahan pendidikan dan informasi untuk menangani isu kesihatan mental dan emosi yang boleh dicapai menerusi telegram MHPSS Johor di pautan https://t.me/MHPSSJohor.
Beliau yakin sepanjang tempoh PKP pastinya ramai yang agak tertekan dengan limitasi pergerakan yang dikuatkuasakan dan untuk itu, semua pihak perlu mengawal emosi serta fizikal terutama apabila bersama-sama orang yang tersayang.
Dalam perkembangan lain, Vidyananthan berkata, sehingga semalam mengikut rekod JKNJ, kes Covid-19 yang masih aktif di negeri ini dibahagikan kepada empat zon semuanya melibatkan 92 mukim.
Jelas beliau, 47 mukim dalam kategori Zon Hijau manakala 43 mukim dalam kategori Zon Kuning serta masing-masing satu mukim dalam kategori Zon Jingga dan Zon Merah.
"Sehingga semalam, JKNJ melaporkan penambahan sebanyak tiga kes baharu Covid-19 yang menjadikan jumlah terkini 642 kes. Sehingga semalam juga, jumlah kes kematian direkodkan di Johor adalah 16 orang dengan pertambahan satu kes kematian baru direkodkan semalam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!