Penganggur bawa pisau pemotong daging ke balai polis
SIBU - Seorang penganggur yang dipercayai khayal akibat pengambilan dadah ditahan apabila ke Balai Polis Sibu Jaya dengan membawa sebilah pisau pemotong daging petang semalam, kata Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit hari ini.
Menurutnya, penganggur berusia 23 tahun itu bagaimanapun dapat dipujuk untuk meletakkan pisau itu di lantai balai sebelum dua anggota yang bertugas menangkapnya.
“Ketika disoal siasat, suspek menyatakan dia membawa pisau yang dibawa dari rumahnya itu di Sibu Jaya untuk mempertahankan diri kerana risau ada orang mahu memukulnya. Bagaimanapun, pertuturan suspek kurang difahami kerana dipercayai di bawah pengaruh dadah,” katanya ketika dihubungi.
Suspek turut mempunyai kesan luka di tangan kanan berpunca daripada tindakan suspek sendiri yang menumbuk cermin tingkap rumahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berjadual.
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!